Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Nafas makin pendek dek kesan COVID-19, Siti Nurhaliza belajar Muay Thai tingkatkan stamina

Anggaran Waktu Membaca:
Nafas makin pendek dek kesan COVID-19, Siti Nurhaliza belajar Muay Thai tingkatkan stamina

Gambar: Agensi Berita

Diterbitkan : 09 Nov 2022 10:58AM Dikemas Kini : 09 Nov 2022 10:59AM
KUALA LUMPUR: Rindu peminat untuk melihat beliau kembali beraksi di sebuah konsert akhirnya terubat.

Mana tidaknya, beberapa tahun kebelakangan ini, dunia dilanda dengan pandemik COVID-19 dan pelbagai aktiviti terpaksa dihadkan termasuk penganjuran konsert.

Sebelum menutup tirai tahun 2022, penyanyi nombor satu Malaysia, Siti Nurhaliza, tampil mengadakan persembahan istimewa menerusi konsert 'Music of The Soul' khas buat peminat setianya, lapor Astro AWANI.

Meskipun bukan pertama kali mengadakan konsert, pelantun lagu Seribu Kemanisan itu akui masih mempunyai rasa gementar lebih-lebih lagi beliau masih merasai kesan menjadi salah seorang mangsa COVID-19.

“Saya kalau sakit benda yang saya tak nak kena, batuk dan selsema. Tetapi ketika saya dijangkiti COVID-19, saya ada batuk yang berpanjangan dan masih merasai kesannya. Sebab lepas dijangkiti COVID-19 tempoh hari, pernafasan saya pendek... kita nak nyanyi, nak jerit pun susah sangat.

“Jadi Siti memang berusaha untuk mengembalikan stamina. Jadi saya buat banyak senaman antaranya Muay Thai untuk stamina dan pernafasan saya,” katanya kepada media selepas konsert hari pertama 'Music of The Soul'.

Pada masa sama, Siti Nurhaliza - atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ti - memaklumkan dirinya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh semua peminat yang hadir ke konsert tersebut.

“Saya sangat terharu dengan sambutan sebab ini adalah persembahan eksklusif bagi mengutip dana buat Yayasan Nurjiwa. Memang impian saya untuk meneruskan yayasan ini untuk sampai bila-bila,” tambahnya, ditukil Astro AWANI.

Siti Nurhaliza menyampaikan 18 buah lagu di konsert 'Music of The Soul', antaranya Warna Dunia, Diari Hatimu, Anta Permana, Aku Bidadari Syurgamu dan lagu Baldu Biru duet bersama Awie.

Lebih menarik perhatian penonton semasa Awie mendendangkan lagu Pantun Budi bersama Siti Nurhaliza.

'Music of The Soul' diadakan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 November 2022.

Hasil daripada penjualan tiket konsert berkenaan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan