Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Musim kedua Titoudao susuri dunia bangsawan Melayu; Sofia Dendroff & Nadiputra pegang watak anak dan bapa

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Musim kedua siri televisyen Titoudao yang mengisahkan kehidupan para pemain opera Cina di Singapura kini membawa penonton menyusuri ke dunia bangsawan Melayu dan industri filem tempatan pada masa lalu.

Ini menyusuli kejayaan musim pertamanya yang merupakan adaptasi drama klasik pengarah teater Goh Boon Teck tentang ibunya Oon Ah Chiam, seorang pemain wayang Cina.

Titoudao: Dawn Of A New Stage sebanyak lapan episod menampilkan barisan pelakon lama dan baru.


(Gambar: Mediacorp)

Antaranya Sofia Dendroff, serta penerima Pingat Budaya Singapura dan ikon teater Melayu tempatan Encik Almahdi Al-Haj Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Nadiputra.

Sofia membawa watak 'Iffah', anak kepada Johan seorang pemimpin kumpulan bangsawan yang dimainkan oleh Encik Nadiputra,

"Dia adalah seorang pelakon pada 1960-an tetapi apa yang saya rasa sangat kelakar tentangnya ialah dia sebenarnya tidak tahu yang dia tidak boleh berlakon. Ini sehingga seorang watak bernama Ah Chiam yang dimainkan Koe Yeet memberitahunya dalam satu babak bahawa lakonannya itu tidak "natural"," kongsi Sofia.

"Tetapi secara jujur untuk watak saya, cabarannya dalam cerita ini ialah perjalanannya untuk mencari dirinya sendiri, untuk rasa bahawa dirinya itu bernilai kerana daripada kecil, beliau sering diberitahu bapanya dia tidak cukup bagus," tambahnya.

DIDIK GENERASI MUDA TENTANG BANGSAWAN


(Gambar: Mediacorp)

Menurut Sofia lagi, watak beliau sebenarnya ingin menjadi pelakon bangsawan seperti bapanya tetapi impiannya itu tidak mendapat sokongan sehingga beliau menyertai industri filem.

"Ia cara yang baik untuk mendidik generasi muda tentang sejarah lama yang mereka mungkin tidak tahu hari ini. Jadi bila kita membuat cerita sebegini di televisyen, kita juga boleh mengingatkan generasi lama tentang apa yang mereka pernah alami pada ketika itu," menurut Sofia.


(Gambar: Mediacorp)

Dalam menjayakan siri ini, Sofia banyak mempelajari tentang dunia bangsawan.

"Saya rasa sangat bersyukur sebab dapat berlakon dengan lagenda seperti Encik Nadiputra. Saya tahu dalam industri teater, ramai yang memberi kata-kata baik untuknya. dan diberi peluang untuk berlakon dengannya sebagai bapa saya dalam cerita ini, saya rasa ini adalah satu penghormatan untuk saya," ujar Sofia.

Menurut Sofia, bangsawan sangat berbeza daripada teater moden hari ini, terutama sekali dalam sebutan, dan lenggoknya.

NADIPUTRA MAINKAN WATAK JOHAN, PEMIMPIN KUMPULAN BANGSAWAN


(Gambar: Mediacorp)

Ini merupakan siri televisyen dalam bahasa Inggeris yang pertama bagi Encik Nadiputra yang memang dikenali sebagai pejuang seni bangsawan negara.

"Watak kali ini mengetengahkan seorang pemimpin kumpulan bangsawan yang kata orang itu kepala batu, tidak mahu lihat perubahan dan mati-mati dia ingin mengekalkan tradisi bangsawan itu," kongsi Encik Nadiputra.

"Watak ini agak keras tentang apabila berdepan dengan anaknya yang tidak mengikuti apa yang dia selama ini amalkan dalam bangsawan. Jadi ini yang membuat pertelingkahan ataupun pertentangan dalam dua pemikiran terhadap apa yang saya (Johan) ingin usahakan sebagai penganut bangsawan yang lama dan juga tentang apa yang anak saya (Iffah) tidak endahkan terhadap apa yang saya memperjuangkan dalam seni bangsawan," tambahnya lagi.

Beliau turut mendapat inspirasi daripada bapa bangsawan tempatan Allahyarham Hamid Ahmad.

"Saya juga mengikuti perkembangan beliau baik di pentas ataupun banyak bangsawan beliau di televisyen. Jadi di situ, laluan-laluan hidup seorang pejuang bangsawan seperti Allahyarham Pak Hamid dapat saya lihat betapa susahnya beliau dalam mempertahankan dalam ingin mengekalkan budaya bangsawan itu sendiri, tradisi bangsawan itu sendiri supaya tidak tercemar," kata beliau

DEDAH MASYARAKAT MELAYU DAN BUKAN MELAYU DALAM BANGSAWAN


(Gambar: Mediacorp)

Encik Nadiputra berharap paparan bangsawan dalam drama Inggeris di Saluran 5 dan mewatch dapat mendedahkan seni itu kepada masyarakat Melayu dan bukan Melayu.

"Bila ada usaha-usaha sebegini menerapkan Opera Cina dan Bangsawan, ia memikat ramai belia yang agak tertarik dan terkesan dengan corak bangsawan yang diperkenalkan dan ini selari dengan apa yang cuba dipertahankan kaum Cina terhadap Opera Cina. Jadi masalahnya serupa," ujar Encik Nadiputra.

"Ia memberi semacam kesan yang besar dalam masyarakat Melayu sebab ia beralih ke saluran nasional yang berbahasa Inggeris dan saluran ini mengangkat drama itu walaupun dalam bahasa Inggeris dan memberi peluasan yang baik dan bermanfaat kepada bukan sahaja masyarakat Melayu, tetapi masyarakat bukan Melayu juga," tambahnya.

Orang ramai boleh menonton Titoudao di Saluran 5 setiap Selasa pada 9.30 malam, serta di mewatch.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan