Skip to main content

Hiburan

Mojoku Hilang! - Filem komedi romantik yang menyatukan kekuatan industri kreatif serantau

Anggaran Waktu Membaca:
Mojoku Hilang! - Filem komedi romantik yang menyatukan kekuatan industri kreatif serantau

Mimi Lana (kiri) dan Adipati Dolken - peneraju utama filem komedi romantik Mojoku Hilang! (Gambar: BERITA Mediacorp / Roslinda Rahmat)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 09:37PM

SINGAPURA: Sebuah filem Melayu baharu hasil kerjasama bakat-bakat dari tiga negara iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia kini ditayangkan di pawagam-pawagam Golden Village.

Filem bertajuk Mojoku Hilang! itu diharap dapat menjadi pencetus bagi lebih banyak kerjasama antara tiga negara bagi menyerlahkan lagi industri filem di rantau ini.

KOLABORASI SERANTAU SASAR LAHIRKAN IDENTITI 'MALAYWOOD' NUSANTARA

Di layar perak, yang dicari adalah Mojo — seekor lembu maskot yang hilang.

Namun di sebalik pembikinannya, filem ini turut mencari formula yang lebih besar yakni untuk menyatukan kekuatan industri kreatif serantau.

Perfileman dijalankan di Perlis, Malaysia dan komedi romantik ini diterbitkan oleh Double Vision dari Malaysia bersama studio penerbitan filem Singapura - Mocha Chai Laboratories.                                  

Pengarah filem Mojoku Hilang, Min Lim berkata, "Ini impian saya kerana saya rasa Nusantara ini kita ada suara yang sangat unik, perspektif yang sangat unik tapi untuk kita sampai ke tahap itu, kita mesti kolaborasi dengan negara lain - dengan Singapura, dengan Indonesia."

Related article image
Min Lim (kiri) sedang diwawancarai seorang wartawan, berkongsi tentang percubaan sulungnya mengarahkan filem. (Gambar: BERITA Mediacorp / Roslinda Rahmat)
"Ini penting kerana saya rasa kita semua perlu membuka fikiran. Mungkin orang daripada luar - daripada negara lain ada pengalaman yang kami tidak ada. Jadi kita boleh belajar daripada orang lain tetapi ini bukan terhad kepada Nusantara sahaja," kongsinya kepada wartawan Roslinda Rahmat, sebelum tayangan perdana bagi filem ini pada Khamis (30 Jul) di panggung Golden Village (GV) yang terletak di gedung Bugis+.

Filem ini menandakan debut Min Lim sebagai pengarah filem cereka, dengan tema keluarga, pengorbanan dan nilai-nilai murni.

MIMI LANA & ADIPATI DOLKEN JAYAKAN GANDINGAN PERTAMA DI LAYAR PERAK

Ia juga penampilan sulung pelakon Indonesia, Adipati Dolken dalam sebuah filem Malaysia.
Related article image
Adipati Dolken (di bawah layar perak, pegang mikrofon), sewaktu tayangan perdana Mojoku Hilang! [30 Jul 2026] mengaku antara cabaran terbesarnya adalah untuk bertutur Bahasa Melayu untuk filem itu. (Gambar: BERITA Mediacorp / Roslinda Rahmat)
"Kolaborasi itu baik. Kita jadi lebih boleh menghargai budaya orang, kita boleh lebih menghargai watak manusia yang lain itu seperti apa dan yang pasti, kita dipaksa untuk belajar lebih jauh lagi daripada apa yang kita sudah tahu. Saya belajar dari sifar untuk mengerti Bahasa Melayu itu. Mujur pengarah sabar dengan saya, penulis pun sabar, dan pemain yang lain juga sangat mendukung dan membantu saya supaya berupaya faham akan Bahasa Melayu," dedah pelakon setinggi 1.8 meter, Adipati Dolken kepada wartawan.

Adipati yang memainkan watak Adi berkata, barisan pelakon dan kru tempatan Malaysia banyak membantunya menyesuaikan diri.

Antara lain, beliau mengenang keakraban pelakon watak ayah kepada Ayu, Wan Hanafi Su, "Waktu itu dia datang terus tiba-tiba memeluk saya, terus bilang, 'Ayah. Panggil aku Ayah!' terus okey. Sangat mesra rasanya," kenangnya.

Mojoku Hilang! mengikuti perjalanan Adi, seorang eksekutif yang ditugaskan mencari Mojo - lembu baka Frisia yang 'diculik'.

Misi itu membawanya kembali kepada kehidupan kampung serta menemukannya dengan Ayu, petani muda yang mempertahankan warisan keluarganya.

Watak utama Ayu dihidupkan oleh pelakon Mimi Lana.
Related article image
"Dalam Mojoku Hilang ini kali pertama saya menyanyi dalam filem. Jadi saya rasa itulah cabaran saya dan saya kena bercakap dalam dialek Bahasa utara - Bahasa Perlis. Tetapi di set, saya ada guru vokal dan guru dialek yang disediakan oleh pihak penerbitan. Jadi alhamdulillah semuanya lancar. Bekerjasama dengan Adipati dari Indonesia, saya sangat-sangat senang bekerja dengannya kerana beliau sangat profesional.

"Saya percaya kalau kita sentiasa berganding bahu dan berkongsi idea, saya pasti kita boleh tembus lebih jauh lagi daripada pasaran Hollywood. Kita pun tidak kurang dari segi teknikal semua, berbanding dengan industri filem Barat," ujar Mimi Lana.

Filem Mojoku Hilang! mula ditayangkan di pawagam-pawagam GV di serata Singapura hari ini (31 Jul).
 
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/rl
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita