Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Mission: Impossible' saman syarikat insurans susuli 7 sekatan pergerakan COVID-19

Penerbitan filem terbaru Mission: Impossible ditangguh sebanyak tujuh kali akibat pandemik COVID-19, menurut satu saman yang difailkan pada Isnin (30 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
'Mission: Impossible' saman syarikat insurans susuli 7 sekatan pergerakan COVID-19

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 31 Aug 2021 06:23PM Dikemas Kini : 31 Aug 2021 06:26PM

LOS ANGELES: Penerbitan filem terbaru Mission: Impossible ditangguh sebanyak tujuh kali akibat pandemik COVID-19, menurut satu saman yang difailkan pada Isnin (30 Ogos).

Tuntutan saman itu mendakwa syarikat insurans filem berkenaan gagal membayar kos bagi enam daripada tujuh penangguhan tersebut sehingga mengakibatkan kerugian besar.

Dalam saman yang difailkan Paramount Pictures di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di California, penggambaran siri aksi yang dibintangi oleh pelakon Tom Cruise itu ditunda sebanyak empat kali di Itali dan tiga kali di United Kingdom antara Februari 2020 hingga Jun 2021.

Penangguhan itu disebabkan oleh kes positif pada ujian saringan dalam kalangan pelakon dan juga kru penerbitan dan juga akibat kuarantin dan sekatan pergerakan yang dikenakan di negara-negara lokasi penggambaran bagi filem tersebut.

Tuntutan saman ke atas Federal Insurance yang berpangkalan di Indiana itu antara lain disebabkan oleh pelanggaran kontrak, di mana sepatutnya mereka bersetuju untuk membayar sejumlah AS$5 juta pada penangguhan pertama.

Federal Insurance belum memberikan sebarang komen atas perkembangan tersebut.

Cruise, yang juga penerbit filem tersebut, naik berang sewaktu penggambaran Mission: Impossible 7 di England pada Disember lalu atas sebab pelanggaran protokol COVID-19, lalu mengancam akan memecat pelakon dan kru yang tidak memandang serius terhadap perkara itu.

Mission: Impossible merupakan salah satu francais terbesar di Hollywood, dengan edisi Mission: Impossible – Fallout pada tahun 2018 berjaya meraih kutipan pecah panggung bernilai lebih AS$791 juta di seluruh dunia.

Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan banyak penerbitan filem dan televisyen tergendala.

Kos ujian saringan, konsultasi dan kelengkapan perlindungan pula meningkatkan lagi perbelanjaan.

Paramount dalam tuntutan samannya menyatakan, syarikat insurans berkenaan berhujah bahawa 'tiada bukti yang menunjukkan bahawa pelakon dan tenaga kerja tidak boleh meneruskan kerja mereka, walaupun ada yang telah dijangkiti COVID-19 dan merisikokan orang lain dalam penggambaran dan penerbitan filem tersebut'.

Paramount bagaimanapun tidak menjelaskan kos sebenar kerugian akibat perintah sekatan pergerakan yang dikenakan, namun jumlahnya dijangka lebih daripada AS$5 juta yang dibayar syarikat insurans itu bagi penangguhan kali pertama pada Februari 2020.

Filem Mission: Impossible 7 dijadual ditayangkan pada Mei 2022. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Agensi berita/AW/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa