Skip to main content

Hiburan

Michelle Yeoh terima bintang 'Hollywood Walk of Fame'

Anggaran Waktu Membaca:
Michelle Yeoh terima bintang 'Hollywood Walk of Fame'
Michelle Yeoh terima bintang 'Hollywood Walk of Fame' di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, pada 18 Februari 2026. (Gambar: Reuters) 
Diterbitkan : 19 Feb 2026 10:52AM Dikemas Kini : 19 Feb 2026 10:57AM
LOS ANGELES: Bintang tersohor kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh terus dihamparkan karpet merah oleh industri perfileman Hollywood apabila namanya diabadikan di 'Hollywood Walk of Fame' pada Rabu (18 Feb).

Michelle, anak jati Ipoh, Perak diraikan dalam satu majlis gemilang yang turut dihadiri barisan selebriti terkemuka yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang karier gemilangnya.

Berusia 63 tahun, Michelle tampil memukau dalam gaun sutera kuning dan diserikan dengan perhiasan barangan kemas perak serta kasut perak bermotif flora, dengan rambut panjangnya dibiarkan lurus mengurai di bahu.

Penerbit 'Walk of Fame', Ana Martinez, memuji perjalanan seni Michelle dan menyifatkan bintang itu sebagai penghormatan kepada seorang perintis industri.

“Bakat, keanggunan dan kerjaya luar biasa Michelle yang memecah batas telah meninggalkan kesan mendalam dalam industri hiburan.

"Bintangnya mengiktiraf seorang perintis yang terus memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia,” kata Cik Martinez, seperti dinukil Astro Awani.

Suami Michelle, Jean Todt, tidak dapat hadir pada majlis istimewa itu kerana berada di India atas urusan kerja, seperti disebut pelakon itu.

Dalam ucapan yang sama, Michelle menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya atas sokongan mereka sepanjang hidupnya, serta kepada abang dan kakak iparnya yang terbang dari Malaysia bagi memberi kejutan di majlis tersebut.

Michelle juga tidak terlepas daripada mengenang perjalanan panjangnya dari Malaysia ke pentas Hollywood.

“Laluan dari Malaysia ke sini bukanlah satu garis lurus. Ada masanya saya tertanya‑tanya sama ada saya benar‑benar layak berada di sini.

"Tetapi saya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada kisah‑kisah yang melintasi sempadan dan bahasa,” kata beliau, seperti dipetik Astro Awani.

Dalam masa yang sama, Michelle merakam penghargaan kepada 'keluarga' serta rakan-rakan dalam industri yang hadir meraikan detik bersejarah itu.

“Kepada anda semua di sini hari ini, 'keluarga' saya, terima kasih kerana hadir, berdiri bersama saya dan menjadi sebahagian daripada hidup saya bukan hanya pada saat-saat gemilang tetapi juga ketika sunyi. Kehadiran anda amat bermakna,” kata Michelle, seperti dinukil Astro Awani.

'Hollywood Walk of Fame' ialah laluan penghormatan yang terletak di Hollywood Boulevard dan Vine Street, Los Angeles dengan menampilkan lebih 2,000 bintang yang diberikan kepada individu atau kumpulan yang memberikan sumbangan besar dalam industri hiburan seperti filem, muzik, televisyen, radio dan teater secara langsung.

Ia diuruskan oleh Dewan Perniagaan Hollywood dan setiap bintang mewakili pengiktirafan rasmi terhadap pencapaian dan legasi seseorang artis dalam dunia hiburan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita