Michelle Yeoh terima anugerah khas di Pesta Filem Cannes
CANNES: Bintang filem 'Everything Everywhere All At Once' yang juga pemenang Oscar, Michelle Yeoh, terus menerima pengiktirafan, kali ini di Pesta Filem Cannes apabila beliau dikurniakan anugerah khas 'Kering’s Women in Motion Award'.
Yeoh, yang turut memenangi Anugerah Golden Globe dan SAG tahun ini, menerima tepukan gemuruh tetamu termasuk Leonardo DiCaprio, Isabelle Hupert, Rebel Wilson, Alfonso Cuaron, Salma Hayek, presiden juri Ruben Östlund, ahli juri Paul Dano dan Brie Larson, Presiden Festival de Cannes Iris Knobloch, dan Pengarah Festival Cannes, Thierry Frémaux, menurut majalah Vanity Fair.
“Sudah terlalu lama kami sebagai wanita dipinggirkan. Kami sering diberitahu pintu untuk kami sudah ditutup.
"Virginia Woolf pernah berkata, ‘tidak ada pagar, tiada kunci, tiada besi halangan yang boleh menghambat kebebasan fikiran saya.’ Idea kami (wanita) tidak berkesudahan. Semangat kami tidak terhingga. Dan kami datang untuk memecahkan pintu itu,” kata Yeoh dalam ucapannya.
Yeoh seterusnya menyebut beberapa watak ikonik yang pernah dipegangnya, "yang kuat, berkebolehan dan tidak takut untuk membela diri sendiri," termasuk Wai Lin dari 'Tomorrow Never Dies', Yu Shu Lien dari 'Crouching Tiger, Hidden Dragon' dan Evelyn Wang dari 'Everything Everywhere All At Once'.
"Mereka telah mengajar saya banyak perkara tentang bagaimana saya ingin bergerak dalam dunia, iaitu dengan integriti, dengan kekuatan dan lebih penting, kasih sayang," katanya.
Penerima anugerah yang sama sebelum ini termasuk Viola Davis, Jane Fonda, Geena Davis, Susan Sarandon, Isabelle Huppert, Patty Jenkins, Gong Li dan Salma Hayek.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.