Michelle Yeoh pelakon Asia pertama menang Pelakon Wanita Terbaik Oscar

Michelle Yeoh memenangi Pelakon Wanita Terbaik bagi filem drama komedi ‘Everything Everywhere All at Once’ di Anugerah Akademi ke-95 (Oscars) pada 12 Mac 2023 di Hollywood, California. (Gambar: Rodin Eckenroth/Getty Images/AFP)
Pelakon kelahiran Ipoh itu juga merupakan pelakon pertama berketurunan Asia Tenggara yang memenangi anugerah berprestij itu.
Kejayaan di pentas Oscar menambah piala kemenangan Michelle untuk filem yang sama termasuk Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi di Anugerah Golden Globe awal Januari, Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) pada awal Februari dan yang terkini, SpIRIT Awards untuk lakonan terbaik.
Michelle, 61 tahun, yang anggun dalam persalinan berwarna putih tidak mampu menyembunyikan kegembiraannya ketika di pentas semasa menerima piala yang menjadi dambaan pelakon-pelakon dari seluruh dunia.
“Kepada semua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang seperti saya menonton malam ini, kejayaan ini adalah tunjang harapan dan banyak kemungkinan. Ia juga adalah bukti bermimpilah dengan impian yang besar dan mimpi juga menjadi kenyataan,” ujar Michelle, ditukil Astro Awani.
Piala Pelakon Wanita Terbaik Oscar yang kini dalam genggaman Michelle juga disifatkan melakar satu lagi sejarah baru dalam industri perfileman antarabangsa.
Beliau menjadi wanita bukan kulit putih pertama yang memenangi kategori itu selepas selang dua dekad, sejak Halle Berry menggondol anugerah tersebut pada tahun 2002, lapor Astro Awani.
Untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, Michelle berdepan dengan persaingan Andrea Riseborough yang membintangi filem 'To Leslie', Cate Blanchett (Tar), Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Selain Kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Michelle, filem 'Everything Everywhere All at Once' turut meraih kemenangan dalam enam kategori lain di Anugerah Akademi, termasuk bagi Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Terbaik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.