Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Michelle Yeoh dicalon Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar

Tahun 2023 mungkin boleh disifatkan sebagai tahun gemilang buat pelakon terkenal dari Malaysia, Michelle Yeoh.

Anggaran Waktu Membaca:
Michelle Yeoh dicalon Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar

Michelle Yeoh menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Dalam Filem Muzikal atau Komedi menerusi lakonannya dalam Everything Everywhere All At Once pada 10 Jan 2023 di Hotel Beverly Hilton di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat. (Gambar: Frederic J Brown/AFP)

KUALA LUMPUR: Tahun 2023 mungkin boleh disifatkan sebagai tahun gemilang buat pelakon terkenal dari Malaysia, Michelle Yeoh.

Belum reda kehangatannya muncul sebagai pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe, nama Michelle sekali lagi mencuri tumpuan Malaysia dan dunia, menurut Astro AWANI.

Yeoh, 60, menerima pencalonan Oscar pertamanya dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk lakonannya dalam Everything Everywhere All At Once.

Pencapaian itu juga menyaksikan beliau menjadi rakyat Malaysia pertama dicalonkan dalam anugerah tersebut.

Pengumuman itu dibuat pada Selasa (24 Jan) di Teater Samuel Goldwyn di Beverly Hills, California dalam siaran langsung dikendalikan pelakon Riz Ahmed dan Alison Williams, seperti dinukil Astro AWANI.

Yeoh akan bersaing bersama Cate Blanchett (Tar), Ana De Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans) untuk anugerah itu.

Pelakon dalam filem sama dengan Yeoh, Ke Huy Quan, Jamie Lee Curtis dan Stephanie Hsu turut dicalonkan dalam kategori lakonan Oscar.

Quan dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Terbaik manakala Curtis dan Hsu akan bersaing untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan aktres dari Ipoh itu memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Dalam Filem Muzikal/Komedi menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

Yeoh menewaskan calon lain termasuk Lesley Manville menerusi filem Mrs Harris Goes to Paris, Margot Robbie (Babylon), Anya Taylor-Joy (The Menu) dan Emma Thompson (Good Luck to You, Leo Grande).

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan