Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Michelle Yeoh dicadang jadi ahli baharu IOC

Anggaran Waktu Membaca:
Michelle Yeoh dicadang jadi ahli baharu IOC

(Gambar fail: AP/Chris Pizzello)

KUALA LUMPUR: Nama pemenang Oscar Michelle Yeoh dicadangkan sebagai ahli baharu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). 

IOC menerusi satu kenyataan memaklumkan lembaga eksekutifnya bersetuju mencadangkan Michelle bersama tujuh lagi ahli baharu dalam jawatankuasa itu untuk pemilihan pada Sesi ke-141 IOC, yang dijadual berlangsung di Mumbai, India dari 15 hingga 17 Oktober ini.

“Lembaga eksekutif bersetuju untuk menamakan lapan calon, masing-masing empat wanita dan lelaki untuk pemilihan ahli IOC bagi sesi akan datang,” menurut kenyataan tersebut.

Jika Yeoh dipilih, beliau akan menjadi satu-satunya wakil dari Malaysia.

Presiden IOC Thomas Bach berkata semua calon memberi nilai tambah kepada IOC kerana pengalaman dan kepakaran mereka yang luas dalam pelbagai bidang berbeza. 

“Persamaan yang ada pada mereka ialah kecintaan terhadap sukan dan keyakinan tinggi terhadap nilai-nilai Olimpik dan pendirian IOC.

“Selain itu, pemilihan empat wanita itu mengukuhkan komitmen IOC terhadap kesaksamaan jantina dengan meningkatkan keahlian golongan itu kepada 44 orang atau 41.1 peratus,” katanya.

Tujuh calon lain yang dicadangkan ialah Yael Arad (Israel), Balazs Furjes (Hungary), Cecilia Roxana Tait Villacorta (Peru), Michael Mronz (Jerman), Petra Sorling (Sweden) dan Jae Youl Kim (Korea) serta Mahrez Boussayene (Tunisia).

Pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh, Perak itu mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi ke-95 menerusi filem ‘Everything Everywhere All At Once’ pada Mac lalu. 

Wakil terakhir Malaysia dalam IOC ialah mantan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang kini merupakan ahli kehormat IOC.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan