Michelle Yeoh bakal pamer kehebatan bela diri dalam 'The Witcher: Blood Origin'
Peminat boleh jangkakan Michelle Yeoh dalam adegan-adegan pertarungan siri itu mulai tahun depan.

(Gambar: Netflix)
SINGAPURA: Baru saja trailer penuh aksinya untuk filem cereka sains 'Everything Everywhere All At Once' ditayangkan minggu lalu, Michelle Yeoh kini mempamerkan kehandalannya dalam seni bela diri bagi satu lagi projek, The Witcher: Blood Origin.
Dalam trailer 'teaser' satu minit untuk siri Netflix yang akan datang itu, di mana dia membintangi watak pahlawan pedang bernama Scian, Yeoh dilihat menghunus dan menghayun pedang dengan cukup hebat.
Video itu mengejutkan ramai peminat kerana ia pada mulanya muncul di penghujung episod terakhir musim kedua The Witcher, yang ditayangkan melalui platform penstriman itu pada 17 Dis.
The Witcher: Blood Origin adalah prekuel kepada The Witcher, berlatarkan 1,200 tahun sebelum peristiwa siri asal. Ia meneroka penciptaan prototaip Witcher pertama, pemburu raksasa, serta peristiwa yang membawa kepada "Conjunction of the Spheres", apabila dunia raksasa, manusia dan makluk ghaib menjadi satu.
Watak Yeoh sedang dalam misi untuk mendapatkan pedang yang dicuri daripada puaknya apabila dia terserempak dengan dua rakan pengembara - lakonan Sophia Brown dan Laurence O'Fuarain - yang menemaninya dalam pengembaraan tersebut.
Dalam trailer itu, para penonton dapat melihat trio tersebut bersama-sama dalam beberapa adegan lawan.
Blood Origins bukanlah siri tambahan dalam dunia Witcher; 'spinoff' anime yang dipanggil Nightmare Of The Wolf juga sudah boleh ditonton di Netflix.
The Witcher: Blood Origin dijadual ditayangkan pada 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.