Skip to main content

Hiburan

Meremang bulu roma Utt semasa rakam projek baharu Incredible Tales di Changi

Ada dua perkara yang membuat rakyat Singapura kenal akan hos Thai-Amerika Greg Uttsada Panichkul (yang juga dikenali sebagai Utt).

Anggaran Waktu Membaca:
 Meremang bulu roma Utt semasa rakam projek baharu Incredible Tales di Changi

Menurut Utt, beliau sudah mengalami pengalaman aneh pertamanya semasa penggambaran siri video podcast Tales From Incredible Tales. (Gambar: Facebook/Utt)

Diterbitkan : 02 Sep 2025 03:01PM Dikemas Kini : 02 Sep 2025 05:43PM
SINGAPURA: Ada dua perkara yang membuat rakyat Singapura kenal akan hos Thai-Amerika Greg Uttsada Panichkul (yang juga dikenali sebagai Utt).

Sebagai salah seorang VJ paling popular bagi MTV Asia pada 1990-an dan 2000-an, beliau turut mengacarakan siri dokumentari seram Mediacorp yang menjadi kegemaran ramai, Incredible Tales, selama lapan musim dari 2004 hingga 2017.

Hos berusia 51 tahun itu, yang merupakan rakan kongsi agensi penerbitan Cougar Creative House di Thailand, kembali ke Singapura untuk melibatkan diri dalam siri video podcast Tales From Incredible Tales, yang kini memasuki musim ketiga.

Rancangan itu mengimbas kembali beberapa episod yang paling diingati daripada siri asal tersebut.

Utt memberitahu 8days.sg menerusi WhatsApp bahawa beliau berada di Singapura selama seminggu, dan episod pertama bagi rancangan tersebut dirakamkan di salah satu chalet terbesar di Changi, sebuah unit yang pernah diduduki pihak British.

“Ia lebih menyerupai sebuah vila berbanding chalet dan mempunyai suasana yang nostalgik,” kata beliau.

Kata Utt, beliau sudah mengalami pengalaman seram pertamanya semasa penggambaran episod tersebut dijalankan.

Walaupun beliau enggan mendedahkan sebarang "spoiler", beliau menggambarkannya sebagai satu “situasi yang sangat tidak selesa” yang mungkin turut dirasai oleh kakitangan penerbitan.

“Menjelang akhir penggambaran, kami mengadakan ‘walk of courage’ untuk merasai suasana. Saya cepat dapat mengesan ruang dan tenaga, jadi ia agak berat bagi saya,” jelas Utt.

“Boleh dikatakan deria paranormal saya benar-benar aktif apabila saya perlu berjalan ke Hospital Lama Changi bersama Chee Tong, seorang paderi Tao muda.”

Ini bukan kali pertama Utt berdepan dengan pengalaman ghaib.

Dalam satu temu bual pada 2020 bersama 8days.sg, beliau berkongsi bahawa beliau seakan-akan mempunyai “deria keenam” yang kini disamakan dengan “mata ketiga” (third eye) apabila ditanya sama ada dirinya ialah seorang yang percaya akan perkara mistik.

“Saya memang ada [mata ketiga] itu sejak dulu tetapi semasa mengacarakan Incredible Tales, saya perlu berdiam diri tentangnya agar penonton dapat membuat kesimpulan sendiri,” kata Utt.

Kini, penonton pastinya tidak sabar menantikan kisah seram lain yang bakal dikongsi Utt dalam episod-episod akan datang.

Apabila berada di Singapura, Utt berkata beliau sering dikenali atas peranannya sebagai pengacara rancangan Incredible Tales.

“Seronok dikenali sebagai ‘Utt dari Incredible Tales’. Kanak-kanak yang dahulu menonton bersama ibu bapa mereka kini sudah menjadi ibu bapa sendiri,” kata beliau.

“Saya [juga] sudah terlibat dalam Tales From Incredible Tales sejak musim pertama, dan siri Incredible Tales merupakan sebahagian besar daripada diri saya, sehingga kembali semula membuatkan saya rasa seperti pulang ke pangkuan, dan ia juga memberi saya peluang untuk melawat Singapura yang pernah dianggap sebagai kediaman saya,” tambah beliau.
Sumber : 8 Days/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita