Menteri Ehwal Agama M'sia nasihat Aliff Syukri padam video lagu Raya

(Gambar: Petikan skrin video Rusa Music/YouTube)
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad bercadang mahu mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman berkaitan video muzik sempena Aidilfitri yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Encik Idris berkata bahawa sekiranya berpeluang, beliau mahu bertemu mata dengan pemilik video berkenaan sebagai tanda ukhwah sesama Islam bagi berbincang pelbagai perkara, lapor Harian Metro.
Katanya, beliau terpanggil untuk mengulas isu tersebut kerana ketika ini umat Islam sedang mengejar 10 malam terakhir Ramadan.
Katanya lagi, terdapat perdebatan agak panas dalam kalangan rakyat terhadap klip video berkenaan yang diiringi watak penari yang jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam.
"Pastinya ia kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal selepas kita menempuh ujian dan tarbiyah di bulan Ramadan," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin (25 Apr).
Media sebelum ini melaporkan Aliff Syukri menerima kecaman ramai kerana klip video lagu Kelepok Raya tidak bersesuaian dengan sambutan Syawal.
Encik Idris juga berkata bahawa beliau turut mengambil peluang tersebut untuk mengajak semua umat Islam supaya menjaga sensitiviti perkara berkaitan agama dan menjaga batasan terhadap hiburan yang mahu ditonjolkan kepada masyarakat.
Menurutnya, negara baru sahaja pulih daripada bala COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Katanya, peluang dan rezeki yang Allah berikan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengajak umat Islam kepada perkara lebih takutkan Allah serta menjaga tingkah laku, lapor Harian Metro.
"Saya menasihatkan dengan penuh kasih sayang dan cinta kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah agar klip video seumpama ini dikeluarkan daripada disiarkan di mana-mana platform media atau ditetapkan hanya untuk tatapan peribadi," katanya.
Encik Idris yakin hati akan lebih lapang jika patuh kepada ajaran dan nilai agama malah Allah akan melapangkan lagi rezeki.
Beliau turut menyeru semua rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan mengambil peduli terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama, lapor Harian Metro lagi.
"Dengan penuh rendah diri dan kasih sayang saya kepada semua saudara seIslam, semoga nasihat ini adalah kerana Allah dan biarlah Allah sahaja yang menentukan segala aturan kebaikan kepada hamba-Nya," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.