Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Melly Goeslaw ingin beri penghargaan kepada P Ramlee dalam konsertnya di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Melly Goeslaw ingin beri penghargaan kepada P Ramlee dalam konsertnya di M'sia

(Gambar: melly_goeslaw/Instagram)

KUALA LUMPUR: Muzik Allahyarham P Ramlee yang ‘melekat’ di sanubari Melly Goeslaw membuatkan penyanyi dan komposer terkenal Indonesia itu ingin menunjukkan penghargaan tertinggi terhadap seniman berkenaan melalui konsert pertamanya di Malaysia.

Bagi Melly, 48 tahun, karyawan sepanjang zaman itu adalah seorang pemuzik 'genius' yang memberinya inspirasi untuk melahirkan karya-karya bermutu tinggi dan kreatif.

Menurut penulis lirik itu, pertama kali dia diperkenalkan dengan karya P Ramlee adalah sewaktu berada di Malaysia dan pada masa sama sedang mengandungkan anaknya yang pertama.

“Jika fikir logik, tak masuk akal manusia seusia saya pada ketika itu untuk mencintai karyanya hingga saya berasa negara ini sangat beruntung kerana mempunyai pemuzik yang sangat genius."

“Memang ramai promoter cuba melamar saya sejak dulu, jadi saya tetapkan dua syarat sekiranya suatu hari ingin mengadakan persembahan di sini."

“Antaranya izinkan saya beri penghargaan kepada komposer besar itu yang banyak melahirkan runut bunyi filem seperti saya mengikut cara saya - dan syarat itu dipersetujui oleh penganjur konsert, Iman Tang dari Icon Entertainment,” katanya, lapor agensi berita Malaysia Kini.

Pemilik nama penuh Melliana Cessy Goeslaw itu berkata, seorang seniman pasti ingin dikenang melalui karya-karyanya.

Justeru, ujarnya, dia ingin menyatukan “denyut” muzik dari Indonesia dan Malaysia untuk konsert 'Ada Apa Dengan Melly? (AADM) Live In Kuala Lumpur' yang dijadual berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 Februari nanti.

“Saya rasa seorang seniman itu keinginannya hanya satu, iaitu dikenang. Begitu juga dengan saya jika buat konsert di Malaysia, riuh tepuk tangan, pujian dan yang pasti diharapakan adalah dikenang."

“Saya harap denyut Indonesia dan Malaysia boleh disatukan dalam sebuah karya pada 3 Februari depan. Yang berdenyut itu bukan saja dari saya tapi kerana saya akan libatkan pemuzik di sini,” jelasnya, menurut agensi berita Malaysia Kini.

Melly berkata demikian di sidang media pengumuman AADM yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu (30 Nov).

Melly Goeslaw satu nama yang cukup ikonik dalam dunia seni Indonesia dan tempatan dari segi penghasilan lagu, penulisan lirik serta nyanyian.


 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan