Skip to main content

Hiburan

Mediacorp umum projek baharu, bekerjasama dengan syarikat penerbitan antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
 Mediacorp umum projek baharu, bekerjasama dengan syarikat penerbitan antarabangsa
(Gambar: Mediacorp)
Diterbitkan : 05 Dec 2025 12:09PM Dikemas Kini : 05 Dec 2025 12:33PM
SINGAPURA: Mediacorp mengumumkan beberapa projek serta inisiatif baharu pada Khamis (4 Dis) di Asia TV Forum & Market (ATF) tahun ini.

Mediacorp juga mengumumkan kerjasama baharu pada hari pertama ATF 2025, iaitu acara kandungan yang diadakan setiap tahun untuk industri televisyen, filem dan media digital di Asia.

Pertama, Mediacorp akan menghasilkan tiga skrip baharu bersama syarikat penerbitan antarabangsa dari Korea Selatan dan China.

Skrip pertama adalah untuk siri romantik Korea Selatan yang bakal ditayangkan, Orange Boy From The North.

Ditulis oleh Shin Yu-dam, penulis skrip siri popular Marry My Husband pada 2024, Orange Boy From The North menceritakan kisah seorang lelaki Korea Utara berpengaruh dan seorang gadis Korea Selatan yang bertemu di Singapura, menjalin hubungan yang tidak dijangka.

Rancangan itu dihasilkan oleh Mr Romance dari Korea Selatan, yang sebelum ini menghasilkan siri Disney+ Moving.

Skrip kedua adalah untuk siri genre seram jenayah-fantasi, The Penrose Trap, daripada penulis skrip dan penerbit terkenal Gary Tang, yang mengarahkan drama ikonik TVB, File Of Justice.

The Penrose Trap menceritakan kisah seorang wartawan dan seorang wanita muda yang, sedekad selepas berlaku tragedi keluarga, membuka semula kes yang belum selesai dan pernah menghancurkan bandar mereka. Sedang mereka mencari kebenaran, mereka bertemu dengan sekutu dan musuh yang tidak dijangka.

Skrip ketiga adalah kerjasama dengan penulis-pengarah pemenang Anugerah Golden Horse, Lau Kok Rui. Bertajuk Voyage Unknown, siri itu berlatarbelakangkan kapal pesiaran mewah dan mengikuti perjalanan keluarga tiga generasi dengan misi peribadi mereka sendiri.

Dalam kenyataannya, Ketua Pegawai Kandungan Mediacorp, Virginia Lim, berkata: "Projek-projek penghasilan bersama baharu ini mencerminkan kerjasama berterusan kami dengan pasukan kreatif di seluruh rantau ini. Bekerja dengan rakan kongsi di luar Singapura membawa perspektif baharu dan mengukuhkan hubungan yang telah kami bina di seluruh Asia. Setiap projek adalah peluang untuk menceritakan kisah yang menonjolkan kepelbagaian dan kekayaan budaya Asia."

Hari kedua ATF 2025 menyaksikan Mediacorp mengumumkan pemenang ATF x Mediacorp Co-Production Pitch 2025, yang menonjolkan pencerita cemerlang dan idea kandungan asal dari seluruh dunia.

Pertandingan tahun ini menarik 75 penyertaan yang layak dari 21 negara, termasuk India, Jepun, Thailand dan Malaysia.

Dua projek yang menang adalah Blood Pact dari Jepun dan The Musical Chairs dari Thailand.

Yang pertama telah dikemuakan oleh syarikat produksi Jepun, Toei, yang terkenal dengan francais Kamen Rider dan Super Sentai.

Yang kedua pula mengisahkan tentang siri pembunuhan di Bangkok yang berkaitan dengan saluran radio muzik klasikal yang berkumandang 24 jam sehari.

Projek-projek tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak S$10,000 dan akan berpeluang untuk dipertimbangkan bagi penerbitan bersama dengan Mediacorp.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita