Mediacorp sajikan pelbagai rancangan menarik untuk meriahkan sambutan Hari Raya
SINGAPURA: Nikmati sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dengan pelbagai rancangan menarik yang akan disajikan di seluruh platform Mediacorp, termasuk pelbagai rancangan serta filem dari Singapura dan bahkan, Malaysia.
Pastikan anda mengikuti rancangan-rancangan tersebut di meWatch, Suria dan stesen radio Ria 897 dan Warna 942.
Berikut adalah beberapa program yang boleh dijangkakan oleh para penonton:
SINAR LEBARAN 2023
Rancangan khas Hari Raya terbitan Mediacorp ini kembali dengan barisan artis, yang terdiri daripada artis tempatan serta serantau yang terkenal. Ini termasuk Suhaimi Yusof, Nurul Aini, Jatt Ali dan penyanyi dari Malaysia, Elly Mazlein.
Dihoskan oleh Fauzie Laily dan Lydia Asyiqin, Sinar Lebaran 2023 akan menampilkan persembahan-persembahan yang diiringi dengan lagu-lagu raya nostalgik dan terbaru. Personaliti popular Hafidz Rahman turut ditampilkan dalam rancangan tersebut dengan beliau meneroka Geylang Serai dan beramah mesra dengan para pengunjung di kawasan ikonik itu.
Tarikh: 21 April, 9.00 malam
Anda boleh tonton di Suria, meWATCH dan Mediacorp Entertainment di YouTube.
JUARA MIC JUNIOR BERHARI RAYA 2023
16 peserta peraduan menyanyi kanak-kanak Juara Mic Junior Musim 2, bakal kembali untuk bertemu anda di kaca televisyen pada hari pertama Hari Raya dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya klasik serta yang baru.
Mereka juga akan disertai dengan pencipta kandungan popular Zuhairi Idris dan bakat-bakat muda Shaista Eman dan Muhd Shaqeel Jailani.
Tarikh: 22 April, 10.30 pagi
Anda boleh tonton di Suria dan meWATCH.
MANISAN SYAWAL
Dibintangi pelakon terkenal Hasnul Rahmat, telefilem ini menyusuri hubungan antara dua pesaing perniagaan dari rumah (HBB) sedang mereka cuba untuk mencari titik persefahaman apabila anak-anak mereka dilamun cinta.
Tarikh: 22 April, 9.30 malam
Anda boleh tonton di Suria dan meWATCH.
Suria juga akan menyiarkan rancangan-rancangan istimewa dari Malaysia termasuk Sejenis Raya Senariounion, yang menampilkan kumpulan pelawak Senario, pada 22 April dan Konsert Semangat Lebaran Kita, dengan penampilan penyanyi veteran Jamal Abdillah dan Ziana Zain pada 30 April.
Di corong radio pula, para pendengar radio Melayu tempatan boleh menjangkakan rancangan dengan tema Hari Raya sehingga 30 April di Ria 897 dan Warna 942.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kandungan Mediacorp menjelang sambutan Hari Raya, anda boleh melungsuri laman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.