Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mediacorp sajikan beraneka rancangan menarik untuk meriahkan lagi sambutan Hari Raya anda

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp sajikan beraneka rancangan menarik untuk meriahkan lagi sambutan Hari Raya anda

Gambar: Mediacorp

Diterbitkan : 04 Apr 2024 12:18PM Dikemas Kini : 04 Apr 2024 12:30PM
SINGAPURA: Hari Raya Aidilfitri bakal menyapa kita tidak lama lagi. Dengan pelbagai rancangan menarik disajikan di seluruh platform Mediacorp sempena Lebaran, anda pasti dapat meraikannya dari keselesaan rumah anda sendiri.

Berikut adalah antara rancangan yang boleh dijangkakan oleh para penonton:

SINAR LEBARAN 2024

Tarikh: 9 April, 9.00 malam

Anda boleh tonton melalui Suria, meWATCH dan Mediacorp Entertainment di YouTube.

Rancangan khas Hari Raya ini kembali dengan barisan bintang tempatan serta serantau yang terkenal, termasuk penyanyi dan pelakon dari Malaysia Liza Hanim.

Bertemakan 'Raya Untukmu', anda boleh menjangkakan persembahan daripada penyanyi Aisyah Aziz, Hazrul Nizam, Hyrul Anuar, Shazza dan ramai lagi.

Terdapat juga siri sketsa oleh personaliti-personaliti kegemaran ramai termasuk Era Farida, Izyan Mellyna, Khairudin Samsudin dan Suhaimi Yusof, serta pencipta kandungan tempatan Syafiqa AKA Sya dan Zaki Hussain.

Sementara itu, personaliti popular Pamela Shuhadah Lee turut akan membawa penonton meninjau-ninjau suasana perayaan itu sedang beliau meneroka bazar Geylang Serai.
JUARA MIC JUNIOR BERHARI RAYA 2024

Tarikh: 10 April, 10.30 pagi

Anda boleh tonton di meWATCH dan Suria.

Rancangan khas kanak-kanak ini akan mengikuti persiapan sekumpulan sepupu menjelang Hari Raya, yang dimainkan deejay Mediacorp RIA 897 Zuhairi Idris serta bakat-bakat muda Danish Aswad, Imtinan, Mishall Kiara dan Nik Aqimi.

Di samping itu, dendangan lagu popular Raya akan dipersembahkan para alumni peraduan menyanyi kanak-kanak Juara Mic Junior, termasuk juara Musim 2 Sarah Alia.
AROMA SYAWAL

Tarikh: 10 April, 9.30 malam

Anda boleh tonton di meWATCH dan Suria.

Telefilem ini mengisahkan jerih payah seorang anak perempuan yang menanam harapan untuk mengembalikan ingatan bapanya yang semakin pudar, dengan aroma resipi yang dipelihara rapi.

Dibintangi pelakon Lut Ali, Yuslina Yussof, Fadhlur Rahman, Wan Ahmad, Mariana Yati dan Haizad Imran, Aroma Syawal menyentuh kesan rumit penyakit demensia terhadap orang tersayang dan dinamika sesebuah keluarga.
RANCANGAN RAYA SERANTAU

Di samping rancangan terbitan tempatan, Mediacorp juga akan menyiarkan rancangan-rancangan Raya dari negara jiran.

Ini termasuk Debunk Beraya, Sumpahan Peti Ais, Raya Sebagai Isteri dan Langit Tak Mendengar.

Anda juga boleh menjangkakan pelbagai rancangan istimewa termasuk Romantika, yang menampilkan pasangan selebriti dari Malaysia Janna Nick dan Dini Schatzmann, serta Shuib Sepahtu dan Watie Hanifiah.

PELANGI-RIA MUZIK MASH

Tarikh: 10 April, 2.00 petang

Anda boleh ikutinya di Mediacorp RIA 897.

Dihoskan oleh deejay Mediacorp RIA 897 Fadli Kamsani dan deejay Pelangi FM Lydia Johari, program bersama selama sejam itu akan meninjau suasana sambutan raya di Singapura dan Brunei Darussalam.

Anda juga boleh menantikan persembahan lagu Hari Raya oleh vokalis Brunei Yaniey Junaini dan artis tempatan Hyrul Anuar, yang akan mendendangkan lagu Rayanya, Dian Lebaran secara langsung buat julung-julung kalinya sejak dilancarkan pada 2013.

RAYA TAK BERASAP

Tarikh: 10 April, 3.00 petang

Anda boleh ikutinya di Mediacorp WARNA 942.

Drama radio istimewa ini, memaparkan kisah dua lelaki yang menyamar sebagai usahawan dan menipu sekumpulan wanita dengan harapan untuk menjual barangan Raya mereka di luar negara.

Ditulis dan dibintangi artis veteran Keater HM, drama radio ini turut menampilkan personaliti Mediacorp WARNA 942 iaitu Aura Shai, Mariam Mas'od, Morniyati Tukimin, Noreha Bajuri, RZ, Suriani Kassim dan TG.

Selain Pelangi-Ria Muzik Mash dan Raya Tak Berasap, Mediacorp RIA 897 dan Mediacorp WARNA 942 juga akan menampilkan program bertemakan Raya sehingga 2 Mei.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kandungan Mediacorp bagi sambutan Hari Raya, anda boleh melungsuri laman ini.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan