Skip to main content

Hiburan

Mediacorp menang 36 anugerah di Anugerah Festival TV & Filem New York, termasuk 3 emas bagi dokumentari CNA

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp menang 36 anugerah di Anugerah Festival TV & Filem New York, termasuk 3 emas bagi dokumentari CNA

Gambar: CNA

Diterbitkan : 27 Apr 2022 11:19PM Dikemas Kini : 28 Apr 2022 12:06AM

SINGAPURA: Mediacorp merangkul 26 anugerah keseluruhannya di Anugerah Festival TV & Filem New York tahun ini termasuk tiga anugerah emas bagi dokumentari CNA.

Mediacorp menang tiga anugerah emas, 12 perak dan 21 gangsa selain 42 penghargaan finalis, menjadikan 78 pujian keseluruhannya sekali gus jumlah anugerah terbesar yang diraih Mediacorp di Anugerah tersebut, kata Mediacorp dalam satu kenyataan media pada Rabu (27 Apr).

Program dokumentari dan hal ehwal semasa Mediacorp membentuk "sebahagian besar" pemenang anugerah tahun ini. Ia juga meraih dua penghormatan finalis di Anugerah Radio Festival New York tahun ini.

Pemenangnya diumumkan di Gala Storytellers Festival New York yang diadakan secara maya pada Rabu.

Dokumentari CNA, Race To Feed The World - A Question of Space, adalah salah satu daripada tiga penerima emas tahun ini.

Dihasilkan syarikat penerbitan Make Waves Productions, dokumentari itu mengupas isu keselamatan makanan di Asia, yang tertekan akibat kekurangan tanah, perubahan iklim, wabak dan penyakit yang mengurangkan hasil tuaian, merosakkan bekalan makanan dan menjejas mata pencarian.

Satu lagi dokumentari CNA, Breathe Again: India's Battle With COVID, merangkul anugerah emas kedua. Dihasilkan oleh Blue Petal FIlms, dokumentari itu mengimbas kembali gelombang kedua COVID-19 dahsyat yang melanda India pada musim bunga 2021.

Negara itu mencatat 400,000 kes harian di kemuncaknya, dan apabila permintaan bagi oksigen, katil hospital dan ubat-ubatan meningkat, penduduk India dari semua pelusuk negara itu berkumpul untuk membantu.

Anugerah emas terakhir dimenangi A Deadly Ascent: Summit Fever (episod 1), yang mendedahkan kisah tidak terperi tragedi Gunung Everest 2019, di mana 11 orang maut ketika cuba mendaki puncak tertinggi di dunia itu.

Satu imej yang menjadi tular menunjukkan barisan panjang ratusan pendaki yang tersekat di laluan sempit menuju ke puncak Gunung Everest, semuanya cuba untuk sampai ke puncak.

Program Identiti terbitan Papahan Films menang perak untuk kategori Persembahan Terbaik oleh seorang Pelakon Lelaki bagi Norman Ishak, selain penghargaan finalis bagi penstriman drama.    

Rancangan Ekspedisi Ekstrem terbitan Xtreme Media pula menggondol gangsa bagi kategori Program Hiburan-Gaya Hidup.

Dua lagi program menerima penghargaan finalis di Anugerah tersebut yakni Ria 897 Hits No Miss dan  Dilema Dania bagi Shenty Feliziana di bawah kategori Persembahan Terbaik untuk Pelakon Wanita.

Program Paparazzi Pagi juga mendapat penghargaan finalis di Anugerah Festival Radio New York 2022.

"Bagi pembuat filem dan penerbit kandungan, meraih anugerah di Anugerah Festival TV & Filem New York adalah satu penghormatan yang boleh dibanggakan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mediacorp,Tham Loke Kheng.

"Kami gembira kandungan Mediacorp terus menerima pujian global."

"Ini mengesahkan kekuatan kami dalam menghasilkan kandungan bermutu dengan daya tarikan sejagat, dan merupakan bukti bakat kreatif dan penerbitan kami yang cemerlang di Singapura," tambahnya.

"Tahniah kepada rakan kongsi dan rakan sekerja kami kerana membuat kami bangga sekali lagi!"

Penonton boleh menikmati barisan rancangan yang memenangi anugerah tersebut di meWATCH, platform video atas permintaan digital Mediacorp.

Ditubuhkan pada 1957, Anugerah Festival TV & Filem New York memberi penghormatan kepada yang terbaik dalam program berita, sukan, dokumentari, maklumat dan hiburan, termasuk video muzik dan infomersil .

Anugerah tahun ini menyaksikan penyertaan dari 42 negara.

Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita