Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Maya Raisha buat kemunculan dalam konsert Cakra Khan, Andmesh

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Di tengah-tengah pelbagai konsert artis luar negara yang diadakan di Singapura sejak kebelakangan ini, terdapat satu konsert di mana para penyanyi tempatan bakal bergandingan dengan nama-nama besar Indonesia - Cakra Khan serta Andmesh Kamaleng.

(Gambar: Offshore Entertainment Holdings Pte Ltd)

Salah seorang daripadanya ialah, penyanyi muda yang sedang membina namanya dalam industri muzik - Maya Raisha.

Maya bersama Taufik Batisah dan Hady Mirza bakal membuat kemunculan dalam konsert Luar Biasa yang menampilkan Cakra Khan serta Andmesh.

Konsert anjuran Offshore Entertainment Holdings Pte Ltd dan 8 Track Entertainment Pte Ltd itu bakal berlangsung pada 29 April 2023 di The Star Theatre.
 
SIAPA MAYA RAISHA?

BERITAMediacorp mengajak anda mengenali beliau yang juga merupakan pelajar cemerlang, yang pernah meraih 3 gred A bagi subjek H2 untuk peperiksaan peringkat GCE A sebelum ini.
 
Seawal usia 4 tahun, Maya sudah didedahkan kepada piano klasik dan alat muzik. Beliau yang kini merupakan mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu pernah membuat persembahan di Marina Bay Sands dan Dewan Carnegie di New York sebelum ini.
 
Anak kepada mantan anggota parlimen Zainudin Nordin ini sebenarnya juga merupakan seorang pencipta lagu dan penulis lirik, yang menyerlahkan rasa cintanya kepada lagu-lagu jazz dan pop. Lagu-lagu seperti I Am Bored (I’ll Pass) dan Keep Coming Back diterima dengan baik di sini.
 
Malah, kesempatan mempersembahkan 12 buah lagu ciptaannya sendiri di pentas Esplanade secara solo tidak lama dahulu menjadi satu pengalaman manis buatnya.

(Gambar: Zekwaidi Production)

Maya, 20 tahun, amat berbesar hati diberi peluang untuk berkongsi pentas bersama “gergasi dalam arena muzik setempat dan luar negara” bagi sebuah konsert berskala besar ketika dihubungi baru-baru ini.
 
MENGAPA TERIMA LAMARAN KONSERT LUAR BIASA?
 

“Ini adalah satu peluang dan wadah yang sangat jarang sekali diberi kepada seorang anak muda seperti saya. Apabila diundang, saya hampir jatuh dari kerusi kerana terperanjat! Alangkah bertuahnya diri ini!,” kongsi Maya dengan penuh semangat.
 
Kalau anda belum tahu, Maya pernah merakamkan lagu-lagu Inggeris jazz yang diterima baik oleh penggemar muzik tersebut. 
 
Baru-baru ini, beliau mencuba nasib dalam pasaran Melayu menerusi sebuah lagu balada berjudul Sedingin Embunan Di Wajahmu ciptaan komposer Waffi Ahmad. Lirik lagu tersebut hasil nukilan Dr Elmi Zulkarnain Osman dari Singapura. 

“Saya ingin mencuba menyanyikan genre yang berbeza. Minat saya tetap cenderung kepada genre jazz, neo-soul dan R&B.”

(Gambar: Zekwaidi Production)

Untuk konsert Luar Biasa nanti, Maya dijangka berduet dengan Cakra Khan, Andmesh Kamaleng dan Taufik Batisah selain membawakan sebuah lagu ciptaannya sendiri.
 
“Mereka semua amat saya hormati dan minati! Suara mereka masing-masing amat unik dan berada di atas pentas bersama mereka sudah agak menyeramkan saya! Tetapi, saya akan berusaha memberi yang terbaik InsyaAllah," kata Maya kepada BERITAmediacorp.
 
Artis muda yang juga fasih bahasa Perancis ini berharap agar penonton konsert akan terhibur dengan persembahannya pada malam tersebut. 
 
“Semoga mereka juga berikan saya sokongan di masa hadapan!.”
 
Tiket-tiket untuk menonton konsert Luar Biasa boleh diperolehi di laman www.sistic.com.sg

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan