Maya Karin kongsi pengalaman buli siber, diugut wanita sudah berkahwin
Pelakon dan penyanyi Maya Karin mendedahkan bahawa beliau pernah mengalami peristiwa buruk berdepan seorang pembuli siber apabila individu terbabit mengugut dan mengancam keselamatan diri dan keluarganya.
Para selebriti yang menyertai kempen tersebut. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Maya Karin mendedahkan bahawa beliau pernah mengalami peristiwa buruk berdepan seorang pembuli siber apabila individu terbabit mengugut dan mengancam keselamatan diri dan keluarganya.
Menurut Maya, insiden itu berlaku sekitar Ogos tahun lalu dan ia berlarutan hingga tiga bulan sebelum beliau mengambil keputusan untuk membuat aduan polis kerana melihat situasi berkenaan semakin membimbangkan, menurut laporan Malaysiakini.
“Semua orang mempunyai media sosial dan ada di antara kita yang hanya seminggu sekali memuat naik status tetapi ia tidak bermaksud boleh terlepas daripada menjadi mangsa buli siber.
“Ini terjadi kepada saya apabila ada individu yang bukan saja mengancam diri ini tetapi dia berusaha mencari nama keluarga dan saudara yang lain hingga di Jerman sebelum mengugut untuk melakukan sesuatu secara fizikal.
“Selepas berunding dengan adik saya yang juga seorang peguam, saya membuat aduan polis bagi mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.
Maya, 38 tahun, ditemui di sidang media pelancaran kempen Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu di Kuala Lumpur semalam (17 Apr).
Kempen bertemakan "Sebar Fakta Bukan Dusta" dan "Aku Bersamamu" itu mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang hak-hak melindungi diri daripada buli siber dan penyebaran maklumat palsu.
Selain Maya, beberapa selebriti tempatan turut menjayakan kempen itu, iaitu Awal Ashaari, Shca Alyahya, Caprice, Joe Flizzow, Ilaa Damia, Kavitha Sidhu, Jane Teoh, Shahrol Shiro, Nora Danish dan Adibah Noor.
Pemenang anugerah Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia itu berkata bahawa susulan daripada aduan yang dibuat, individu yang membuat gangguan itu diberkas di Melaka sebelum ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Lebih mengejutkan, kata pemenang Anugerah Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik, individu yang membuat ancaman itu sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata.
“Saya memang tidak tahu apa tujuan dia berbuat demikian. Saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa apatah lagi membalas komen atau sebarang kecaman diberikan.
“Mungkin sekadar mencari perhatian. Dia dibebaskan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman denda terhadapnya.
“Bagaimanapun selepas dibebaskan, wanita terbabit masih meneruskan apa dibuatnya sebelum itu, tetapi ia kemudian beransur-ansur senyap,” katanya lagi kepada Malaysiakini.
Maya berharap, detik hitam yang sudah berlalu dalam hidupnya itu boleh memberi pengajaran kepada orang ramai agar mereka mampu menjadi seseorang yang lebih prihatin dan dapat memanfaatkan penggunaan media sosial.
“Kempen ini adalah sebagai permulaan untuk mendidik dan menangani ancaman buli siber sebelum isu berkenaan semakin merebak dan parah di masa depan,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.