MAY bernafas baru selepas hilang AG dan Man
Sebut saja MAY, akan segar dalam ingatan, kugiran rock Malaysia yang boleh disifatkan antara kugiran legenda tempatan yang masih bertahan dalam kalangan artis rock kapak.

Gambar: Facebook/MAY (Band Rock Legendaris Malaysia)
KUALA LUMPUR: Sebut saja MAY, akan segar dalam ingatan, kugiran rock Malaysia yang boleh disifatkan antara kugiran legenda tempatan yang masih bertahan dalam kalangan artis rock kapak.
Lagu seperti Sendiri, Gadis Bertudung Putih, Sketsa Cinta, Pelayaran, Jemu dan banyak lagi masih kedengaran di radio dan tetap kekal di hati para peminat genre rock di Malaysia.
Namun sayangnya, irama lagu itu hanya kekal diingati di telinga peminat, sedangkan, realitinya, semua itu sudah semakin jauh dari anggota kugiran MAY.
Selepas pemergian vokalisnya Mus pada 2019, MAY terus kelam apabila pemain dramnya, Man dan pengganti Mus iaitu AG pula keluar meninggalkan kugiran itu beberapa bulan lalu, lapor Astro Awani.
Pelbagai cerita kedengaran tentang pergeseran antara anggota kugiran yang terkenal dan mula menapak dalam industri hiburan tanah air sejak lebih tiga dekad yang lalu.
Kisah kehilangan dua anggota itu agak besar impaknya lebih-lebih lagi bagi Man selaku orang lama dan anggota asal kugiran MAY.
Malah Man dikatakan kini menubuhkan bandnya sendiri dengan nama Man X May dan MAY yang masih bersama Yus dan Abu pula sudah mencari pengganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
Astro Awani melaporkan ramai peminat tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku dan ke mana hala tuju MAY sebenarnya selepas ini.
“Sebenarnya MAY tetap ada kerana saya dan Abu masih dalam kumpulan ini. Walaupun Man dan AG telah buat keputusan untuk tidak lagi bersama kami tetapi langkah kami tidak akan terhenti kerana kehilangan mereka.
“Saya tidak nafikan memang ada sedikit perselisihan faham antara kami dan mereka sebelum ini, namun kami menghormati keputusan yang dibuat dan MAY akan meneruskan perjuangan dalam industri rock tanah air,” kata pemain bes Yus ketika dihubungi Astro Awani.
Kugiran yang ditubuhkan pada 1985 itu kini dianggotai oleh Achai selaku penyanyi dan Wak Yus selaku pemain dram.
“Mereka ini sebenarnya telah melalui proses saringan sebenarnya dan mereka berdua bukanlah asing dalam dunia hiburan rock tanah air.
"Wak Yus misalnya sudah biasa dengan muzik kami dan dia merupakan orang yang selalu dijemput oleh pelbagai kumpulan muzik untuk sesi rakaman dan sebagainya.
“Tapi untuk vokalis Achai pula kita buat sesi temu duga dengan menyuruhnya menyanyikan 10 buah lagu dengan gaya dan suaranya tersendiri. Ternyata dia mempunyai kekuatan vokal yang baik dan berbeza dari penyanyi MAY sebelum ini selain mampu menyerap irama MAY yang kita kehendaki,” jelas Yus lagi.
Menurut Yus lagi, sebetulnya MAY telahpun merakamkan single baru ketika AG dan Man masih lagi bersama-sama kugiran itu.
“Kita telah selesai (rakam single baru) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Namun oleh kerana pengunduran mereka berdua menyebabkan proses untuk keluarkannya terbantut.
“Sekarang ini kita sedang mengatur perancangan bersama anggota baru sama ada untuk menghasilkan lagu baru ataupun merakamkan semula lagu tersebut,” kata Yus mengenai single bertajuk Anugerah itu lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.