Skip to main content

Hiburan

Mat Sentol diberi Anugerah Kehormat Permata Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Mat Sentol diberi Anugerah Kehormat Permata Dunia

(Gambar: Tan Sri Annuar Musa/Facebook)

KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan Mat Sentol menerusi filem lakonannya dinyanyikan selepas bintang legenda itu diumumkan sebagai penerima Anugerah Kehormat Permata Dunia, sempena Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia Ke-24 (MMU), Sabtu (2 Dis) lalu.

Suasana majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Tun Canselor (DTC) menjadi riuh rendah dengan sorakan serta tepukan gemuruh graduan sebaik nama Mat Sentol diumumkan, lapor Berita Harian Malaysia.

Empat lagu yang pernah menjadi siulan peminat pada era 1960-an didendangkan tiga pelajar MMU terdiri daripada Muhammad Shahril Nizam, Amin Firdaus dan Sofea Emylda S Haron.

Nyanyian disampaikan sebagai tanda penghargaan atas jasa Mat Sentol yang terbabit dalam bidang seni hiburan.

Ia terdiri daripada lagu Aku Ingin Jadi Spy, Janda Muda, Dua Kali Lima Sepuloh dan Suka Sama Suka.

Pelawak dan pengarah veteran sejak era 1950-an, Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abd Rasip Yahya, 90, cukup dikenali dengan beberapa watak filem seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Lanon, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic yang dihasilkan tanpa skrip dan dibuat secara spontan dengan ideanya.

Anugerah disampaikan Profesor Canselor MMU, Dr Zakri Abdul Hamid kepada cucu Mat Sentol, Ain Akashah Rosarif, 26 tahun, yang hadir ditemani suami, Alif Najmi Hashim, 24 tahun, dan ibu, Zaity Arfah Yunos, 49 tahun.

Cik Ain berkata, dia berbangga dengan anugerah diberikan kepada datuknya kerana ia pengiktirafan sangat tinggi kepadanya sepanjang berada dalam dunia seni.

Katanya, sepatutnya bapa mewakili datuk menerima anugerah tersebut, namun tidak dapat hadir kerana kurang sihat.

Tambahnya, dia terkejut apabila dihubungi bapa saudara, Roslee Rashid, 61 tahun, yang menjaga datuk dan menetap di Johor Bahru memintanya mewakili keluarga untuk menerima anugerah itu.

"Kami terharu, datuk sudah tak aktif dalam bidang seni kerana sudah berumur dan uzur, tapi masih ada pihak mengingatinya," katanya, seperti dinukil laporan Berita Harian Malaysia.

Cik Ain berkata, dia sangat teruja menghadiri majlis, lebih lagi lagu ciptaan datuknya dinyanyikan dengan baik oleh golongan muda sehingga menyentuh jiwa.

"Terima kasih MMU atas penganugerahan ini yang dapat dijadikan kenangan kepada ahli keluarga lain dalam mengenang usaha dan kegigihan datuk sepanjang terbabit dalam bidang seni.

"Datuk gembira apabila diberitahu menerima anugerah ini dan pergerakan juga terbatas disebabkan sudah berusia dan uzur yang memerlukan bantuan serta pemantauan setiap masa.

"Kali terakhir kami sekeluarga menziarahi datuk dua bulan lalu dan beliau tetap bertenaga dan masih berselera makan," katanya kepada BH Online.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita