Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mat Kilau catat kutipan RM11 juta dalam masa 4 hari tayangan

Filem Mat Kilau mencatat kutipan RM11 juta (S$3.5 juta) pada hari keempat tayangan setakat jam 9.00 malam Ahad (26 Jun), lapor Harian Metro.

Anggaran Waktu Membaca:
Mat Kilau catat kutipan RM11 juta dalam masa 4 hari tayangan

Poster filem Mat Kilau. (Gambar: Syamsul Yusof/Instagram)

Diterbitkan : 27 Jun 2022 09:47AM Dikemas Kini : 27 Jun 2022 11:09AM
KUALA LUMPUR: Filem Mat Kilau mencatat kutipan RM11 juta (S$3.5 juta) pada hari keempat tayangan setakat jam 9.00 malam Ahad (26 Jun), lapor Harian Metro.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di Instagram rasmi GSC Cinemas.

"Kebangkitan Filem Tempatan! Filem Mat Kilau dah cecah RM11 juta setakat 9.00 malam hari ini (semalam)," antara catatan GCS Cinemas di Instagram.

Sehubungan itu, pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof menganggap kutipan yang dicapai setakat ini adalah luar biasa.

"Melihat kepada senario untuk filem Mat Kilau, kebanyakan ulasan daripada masyarakat yang belum dan sudah menonton mereka memberikan komen dan maklum balas yang sangat positif. Saya sangat bersyukur sebagai penulis filem ini juga kerana mereka menerima baik naskhah epik yang mengangkat tokoh Melayu kita iaitu Allahyarham Mat Kilau.

"Jadi ini satu usaha bersama bukan saja saya sebagai pengarah, pelakon, pasukan dan penerbit, tapi juga disokong kuat oleh penonton Malaysia sendiri. Jadi kita sama-sama harus berbangga dengan kejayaan ini dengan kutipan pada saya luar biasa.

"Jadi kalau mengikut komen dan buah mulut orang, insya-Allah kutipan filem ini akan terus bertambah," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Mat Kilau meraih RM7 juta (S$2.2 juta) dalam masa tiga hari sahaja ia mula ditayangkan di pawagam pada Khamis lalu.

Sebelum ini, filem itu dilaporkan memecah rekod sebagai filem epik pertama di Malaysia yang meraih kutipan RM1 juta (S$320,000) pada hari pertama tayangan, lapor BH Online.

Dalam laporan BH Online, penerbit merangkap Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali tidak menyangka filem tersebut dapat mencipta fenomena.

"Kami bersyukur kepada Allah atas sambutan hangat yang diterima secara berterusan terhadap filem ini. Angka kutipan itu juga diambil kira membabitkan pawagam di Singapura dan Brunei.

"Angka tepat kutipan dijangka bertambah lagi membabitkan semua pawagam dalam negara dan di dua negara terbabit," katanya kepada BH Online.

Encik Abdul Rahman juga berkata, kejayaan itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan jitu penonton yang membanjiri pawagam.

"Kami terharu atas kepercayaan ini. Ia membakar semangat kami untuk terus menghasilkan karya yang terbaik pada masa mendatang.

"Inikan pula angka RM7 juta. Sukar dipercayai... Tetapi Alhamdulillah atas nikmat indah ini.

"Perkara ini sangat memberi simbolik kepada kami dan industri seni amnya. Apatah lagi, filem sebegini sarat mesej. Malah dinanti-nantikan sekian lama oleh peminat wayang," katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dibintangi barisan pelakon hebat seperti Adi Putra, Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa'ri dan Wan Hanafi Su.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan