Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'The Masked Singer M'sia' kembali buat musim ketiga; tampilkan 7 juri baru

Anggaran Waktu Membaca:
'The Masked Singer M'sia' kembali buat musim ketiga; tampilkan 7 juri baru

(Gambar: astrogempak/Instagram)

KUALA LUMPUR: Program realiti The Masked Singer Malaysia (TMSMY) bakal menyaksikan pelibatan seramai lapan orang personaliti yang menduduki kerusi juri tetap termasuk tujuh muka baru.

Paling menarik, bekas hos Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) iaitu Elly Mazlein turut diumumkan sebagai salah seorang juri tetap menggamatkan pentas tersebut dengan keletahnya yang akan membuatkan penonton tak kering gusi.

Ketua Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, pemilihan juri musim ketiga ini merupakan kombinasi penuh dengan elemen lucu dan lebih menghiburkan, lapor agensi berita mStar.

"Kombinasi kali ini memang sedikit berbeza kerana kami tampilkan elemen lucu dan komedi daripada barisan juri tetap itu sendiri."

"Rasanya sesuai dengan kehendak penonton sekarang yang mana mereka inginkan setiap pertandingan perlu ada elemen komedi," katanya.

Selain Elly, tujuh muka baru juri tetap TMSMY adalah Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Shuib, Emma Maembong, Didie Alias dan Atu Zero.

Manakala, ratu rock Malaysia, Ella Aminuddin kembali sebagai juri tetap untuk tiga musim berturut-turut.

AC Mizal pula bertindak sebagai hos program realiti tersebut.

Dalam pada itu, Cik Norzeha memberitahu TMSMY musim kali ini bakal membuka tirai dengan kehadiran 15 orang selebriti terkemuka yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlit sukan dan pempengaruh media sosial.

Menurut laporan mStar, musim kali ini juga memperkenalkan 15 kostum menarik dan unik yang akan disarungkan peserta iaitu Mawar Berduri, Kurita, Si Tangkis, Betta Fish dan Lollipop.

Tidak ketinggalan Bertih Jagung, Zirafah, Abang Burger, Mr Parrot, Manggis, Pizza Panas, Brokoli, Nyoq Muda, Dewi Angsa dan Si Mawas.

Sementara itu, Cik Norzeha turut memaklumkan bahawa TMSMY masih mengekalkan format asal program realiti dari Korea Selatan iaitu The King of Masked Singer yang cukup popular di negara berkenaan.

Untuk rekod, musim pertama TMSMY menyaksikan penyanyi popular Malaysia, Aina Abdul muncul sebagai juara dengan kostum Bunga Raya.

Manakala, penyanyi Shila Amzah pula merangkul kejuaraan musim kedua dengan kostum Rambutan.

TMSMY akan bersiaran setiap Jumaat pukul 9.00 malam bermula 23 Disember 2022 di saluran Astro Warna HD, selain boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO dan On Demand.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan