Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Masih banyak yang artis S'pura perlu belajar

Sudahkah seni di tanah air kita mempunyai pelapis atau penggantinya?

Anggaran Waktu Membaca:
Masih banyak yang artis S'pura perlu belajar

Penulis lirik tersohor, Yusnor Ef. (Gambar: Facebook)

BERITAmediacorp: Sudahkah seni di tanah air kita mempunyai pelapis atau penggantinya?

Adakah generasi baru kita mempunyai bakat sehebat era 1950-an hingga ke awal 1990-an dahulu?

Mungkin juga adakah bakat-bakat di Singapura kurang menyerlah atau tidak sehebat artis-artis di seberang?

Mampukah kita melahirkan anak seni yang berbakat besar seperti P.Ramlee pada masa akan datang?

Seni tetap di hati saya dan saya ingin melihat artis Melayu kita berjaya di persada antarabangsa.

Walaupun tidak lagi menulis lirik dan sudah menulis lebih 250 lagu, namun saya tetap mengikuti perkembangan muzik Melayu dan turut menyokong karya-karya anak muda generasi baru, khususnya mereka yang berkarya di rantau ini. Saya amat berharap, agar mereka ini sanggup bekerja keras dan menghormati karya seni itu sendiri.

ARTIS S’PURA KURANG BERSUNGGUH-SUNGGUH?

Bagi saya, karya seni itu harus digalas dengan bersungguh-sungguh bukan sekadar bagai melepaskan batuk di tangga atau dibuat asal boleh sahaja.

Pada mereka yang baru berjinak-jinak dalam industri seni ini, usahlah mengejar dunia glamour sahaja. Kerana jika kita buat yang terbaik, ‘keagungan’ atau ‘glamour’ itu akan datang dengan sendirinya.

Berusahalah untuk terus memperbaiki diri dan mendedahkan bakat yang dimiliki ke luar negara, tidak kira di rantau Asia atau di pasaran antarabangsa. Kerana jika kita benar-benar berusaha dengan ikhlas, bersungguh-sungguh, dan berdisplin tinggi, tidak mustahil kejayaan boleh menjadi milik kita.

BENARKAH ARTIS MUDA TIDAK HORMAT WAKTU?

Saya pernah bekerjasama dengan biduanita negara seperti Saloma, Sharifah Aini dan penyanyi ulung Anita Sarawak, termasuk juga Ahmad Daud. Komited mereka ini memang saya tabik tinggi dan amat saya hormati. Kerana bagi saya, mereka bukan hanya mempunyai dedikasi dan disiplin yang tinggi, malah bila sudah popular dan dikenali ramai sekalipun, mereka tetap bekerja dengan cemerlang dan terus menghargai seni, dan menjunjung kerja seni itu sendiri.

Anita Sarawak. (Gambar: Anita Sarawak/Facebook)

(Gambar: Anita Sarawak/Facebook)

Dan lebih penting lagi, mereka ini amat menghormati waktu atau ‘punctuality’. Ini yang saya ingin lihat pada artis-artis pada zaman sekarang ini, mungkin ada, tapi jumlahnya mungkin begitu sedikit sekali.

INDUSTRI MUZIK SUDAH BERUBAH; SEDIA KONGSI ILMU

Saya berpendapat, pada zaman dahulu, untuk menulis sesebuah lagu, melodi mesti diilhamkan dahulu, baru seni katanya dicipta. Juga, mungkin akhir tahun 1960-an, atau seawal tahun 1970-an, lagu-lagu saduran, diminati dan boleh diterima ramai. Lebih-lebih lagi lagu-lagu popular dari lagu Inggeris, Jepun, dan terutamanya lagu Hindustan, cukup mendapat tempat di hati masyarakat Melayu kita suatu ketika dahulu.

Meskipun akur zaman telah berubah, namun saya berharap agar para karyawan seni pada hari ini tidak akan lupa pada jati diri, dan dapat terus menghidupkan budaya Melayu, walaupun di zaman moden dan serba canggih ini.

Saya berpendapat, muzik Melayu kita sudah melalui banyak perubahan yang pesat. Cuma saya harapkan usahlah lupakan khazanah Melayu, dan peninggalan nenek moyang kita. Boleh meminati lagu-lagu Barat atau pelbagai genre yang lain, tapi sesuaikan dengan kehidupan kita. Contohnya, seni kata lagu biarlah dicipta dengan lembut dan ringkas, serta mempunyai maksud yang mudah difahami, agar penjiwaaan itu boleh dirasakan dan terus diserap ke dalam hati dan naluri.

Zaman sekarang, kurang kita dengar lagu saduran. Kerana semuanya inginkan ketulenan atau ‘original’. Itu memang bagus, tetapi karangan lagu atau cara ia dilakukan, seperti produksi atau ‘recording’, biarlah bermutu, dan perlu lebih baik dari zaman sebelumnya.

(Gambar hiasan: Wei-Cheng Wu/Unsplash)

Rakaman pada zaman dahulu, memang memakan masa yang panjang selain payah dan memenatkan. Tetapi jika kita lihat kembali pada hasilnya, hingga kini, lagu-lagu lama masih tetap diminati ramai. Kerana saya percaya, rakaman pada masa dahulu segalanya dilakukan dengan begitu teliti, ‘perfect’ dan bersungguh-sungguh. Dari melodinya, senikatanya, susunannya, dan produksinya, segalanya tidak diambil mudah atau sambil lewa. Inilah yang saya mahukan pada muzik industri Melayu hari ini.

Buatlah setanding, atau lebih baik lagi, di era yang serba canggih ini. Tiada alasan bagi industri muzik khazanah kita ini untuk tidak ke depan. Berusahalah ke arah itu.

Saya amat bersyukur kerana sepanjang hayat ini, saya sempat berguru, berkawan, dan bekerjasama dengan nama-nama besar dan nama-nama gah yang telah mencorak dunia seni Melayu kita pada hari ini. Maka dari itu, selagi Allah memberikan saya tenaga, walaupun agak kurang sedikit sekarang, tetapi selagi daya pemikiran saya masih boleh, saya akan teruskan. Sebab apa, minat saya amat mendalam terhadap seni dan saya bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang ada, pada mereka yang ingin mengetahui kisah seni sejarah lampau, penulisan dan karya kreatif yang lain.

Bagi saya, ini semua adalah milik Allah, dan kita sebagai hambaNya perlu terus berkongsi ilmu yang ada, agar ramai yang mendapat manfaatnya. Jika tidak, semuanya akan hilang begitu sahaja.

MASIH BELUM ADA PENGGANTI P. RAMLEE

Bagi diri saya secara jujur, buat masa ini, insan berbakat besar dan gah seperti P.Ramlee belum ditemui penggantinya lagi.

(Gambar: Galeri Nasional Singapura)

(Gambar: Galeri Nasional Singapura)

Walaupun ramai yang boleh menyanyi mungkin sehebat atau lebih baik dari beliau, tetapi bakat, nilai atau ‘passion’ dan gaya yang ada pada diri P.Ramlee yang telah dianugerahkan Allah kepadanya, buat masa ini, masih dicari lagi.

Bagi saya, P.Ramlee adalah seorang insan yang cukup istimewa. Selain cemerlang dan berbakat, beliau juga seorang karyawan yang mempunyai komitmen yang utuh, dan disiplin yang cukup tinggi.

Segalanya beliau akan melaksanakan seperti karya seninya, hanya yang terbaik akan diberikan kepada masyarakat. Tiada jalan singkat, segalanya harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh, penuh ketelitian dan dengan penuh keikhlasan.

Dari situ, karya akan lebih menyerlah lagi. Atau seperti pesanan P.Ramlee kepada saya, “Karya seni, adalah satu daripada kerja Tuhan, oleh itu, buatlah bersungguh-sungguh, dengan penuh kejujuran”.

Seperti kata Pak Hamkah juga, yang saya telah tukil, beliau adalah seorang seniman, ulama tersohor dan budayawan asal Indonesia ini, pernah berkata, “Apabila kita cenderung kepada seni dan keindahan, cubalah, rasai adanya Allah di dalam keindahan itu.”  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan