Mas Idayu bakal nikah penerbit eksekutif TV September ini

Mas Idayu. (Gambar: Mas Idayu/Instagram)
KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut terkenal Mas Idayu memaklumkan beliau bakal mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihannya, yang juga seorang penerbit eksekutif di sebuah stesen televisyen, Muhammad Sufian Che Isa, pada September depan.
Kata Mas Idayu, beliau dan Sufian sudah saling mengenali sejak program Mentor 3 pada 2008 dan baru menjalin hubungan serius sejak beberapa bulan lalu, menurut laporan Astro AWANI.
"Sejujurnya saya sendiri tidak menjangka akan melalui fasa ini sekali lagi. Apatah lagi selepas 15 tahun hidup sendiri. Namun dua tahun kebelakangan ini, saya memang berdoa agar dipertemukan jodoh yang baik.
"Dalam diam siapa sangka jodoh saya dalam kalangan orang yang selalu bekerjasama. Dari hanya usikan rakan-rakan pada program Lagu Cinta Kita (LCK) tahun lalu membawa kepada hubungan yang serius.
"Peserta LCK yang tidak kahwin, akhirnya kami pula yang bakal berkahwin. Inilah yang dikatakan jodoh.
Doakan semoga perancangan kami dipermudahkan," katanya, seperti yang dipetik dari Astro AWANI.
Mas Idayu ditemui semasa majlis berbuka puasa dan infaq Ramadan Dapur Pasak & Amaris di Heritage Chicken Rice, Taiping, Perak pada Sabtu (16 Apr).
Berkongsi lanjut mengenai hubungan mereka, Mas Idayu juga juri tetap program TV berkata Sufian sudah datang berjumpa kakak sulungnya, lapor Astro AWANI.
"Tidak ada istilah beliau melamar saya pun. Kami masing-masing faham isi hati. Beliau terus cakap beliau ingin jumpa keluarga saya yang kebetulan datang dari kampung.
"Tentu sahaja saya gembira. Bukan kerana hendak kahwin, tetapi lebih pada saya dipertemukan dengan lelaki yang boleh menjaga saya. Malah, anak saya juga yang aturkan tempat untuk kami berjumpa empat kali.
"Kalau hendak bercakap soal persiapan, sekarang ini sudah 30 peratus siap. Tempat pula ada beberapa, hanyak tinggal hendak pilih sahaja," kata beliau.
Terdahulu, Mas Idayu juga penyanyi lagu Robek Hatiku pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006, lapor Astro AWANI.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.