Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Malek Ridzuan adakan 'showcase' untuk lepaskan rindu dengan peminat di SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penyanyi era 80-an, Malek Ridzuan berharap dapat perkenalkan lagu-lagu lama beliau yang kurang dikenali kepada para peminat baru dan pendengar generasi muda.

Itulah impian penyanyi yang popular dengan lagu-lagu seperti 'Abang Pulang', 'Cukup Sampai Di Sini' serta lagu wajib semasa Aidilfitri, 'Ewa Ewa Hari Raya'.

Sepanjang lebih empat dekad berkarya, lebih 250 lagu sudahpun dirakamkannya dan dimuatkan dalam 25 album meliputi pelbagai genre termasuk balada dan ketuhanan.

"Bila 25 album ini, banyak lagi lagu-lagu saya yang tidak didendangkan, yang tidak diperdengarkan di corong-corong radio, ataupun di mana-mana. Cuma yang popular sahaja. Jadi kalau kita buat lagu, sayang lagu-lagu lama itu orang tak dengar lagi kita boleh kenalkan," kata penyanyi berusia 65 tahun.

PERSEMBAHAN INTIM, SANTAI UNTUK PENONTON SG

Bagi tujuan itu, beliau terbang ke Singapura untuk 'showcase' pertamanya di Esplanade berjudul 'Abang Pulang, Singapura' yang akan diadakan pada Jumaat (3 Mac).

Sepanjang lebih sejam, para peminat akan dihiburkan dengan 12 buah lagu hit pelantun lagu 'Kelip-Kelip Kusangka Api' itu.

Malek Ridzuan juga teruja untuk bertemu dengan para peminatnya di sini yang disifatkannya sebagai sangat 'sporting'.

"Penonton yang di Singapura ini, saya sangat seronok, saya suka. Dia punya seronok itu kalau kita menyanyi, dia seronok nak tepuk untuk kita menyanyi, dan menghayati kita punya nyanyi. Kalau lagu itu pula kalau melibatkan kesedihan bagi dirinya, dia akan menangis macam begitu," tambahnya.

Beliau juga menjanjikan pengalaman yang lebih intim dengan penonton dalam suasana dan santai.

Kali terakhir beliau ke Singapura adalah sekitar 2017 untuk mengadakan persembahan-persembahan privet.

Untuk persembahannya di Esplanade ini, beliau berharap ia juga peluang baginya memperkenalkan muziknya kepada generasi baru.

"Saya sangat mengalu-alukan orang-orang lama yang hadir pada malam itu nanti termasuk budak-budak baru. Kita tengoklah persembahan ‘orang tua’ ini macam mana," selorohnya.

Tiket-tiket berharga dari S$23 masih boleh didapatkan di laman SISTIC dan Esplanade.

Konsert 'Abang Pulang, Singapura!' berlangsung pada Jumaat (3 Mac) di Esplanade.

DARI PEMUZIK, JADI PENYANYI PULA

Kerjaya Malek Ridzuan bermula pada awal tahun 80an apabila bakatnya dicungkil menerusi satu adu bakat.

Meskipun ketika itu beliau mencuba nasib untuk menjadi seorang pemuzik, beliau ditawarkan menjadi penyanyi pula.

Walaupun menetap di Malaysia sekarang, Singapura masih dekat di hatinya, kerana sebahagian besar kerjayanya bermula di sini dalam tahun 80-an.

Beliau juga giat menerbitkan 'jingle' untuk radio dan televisyen.

"Waktu itu industri muzik Singapura sangat berkembang kerana stesen-stesen TV pun banyak yang mengeluarkan program-program Melayu. Waktu itu SBC contohnya, Radio Singapura dan banyak. Kita pun sibuk waktu itu," jelasnya.

Antara nama-nama besar yang pernah berkolaborasi dengan beliau termasuk komposer dan penerbit seperti S. Atan, Razzi M dan Ramli MS dan penyanyi Hattan dan Nash.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan