Main Tulis Group, Esplanade anjur bacaan dramatik papar karya SG, Malaysia dan Indonesia
Dunia pementasan drama adalah cabang seni yang menuntut ketekunan dalam seni lakonan, teknik pementasan, serta seni kepengarangan dramawan yang menjadi tunggak utamanya.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dunia pementasan drama adalah cabang seni yang menuntut ketekunan dalam seni lakonan, teknik pementasan, serta seni kepengarangan dramawan yang menjadi tunggak utamanya.
Naskhah drama yang bermutu, dengan barisan pelakon yang berbakat, akan menghasilkan pementasan yang mantap atau yang 'sedap' ditonton.
Satu cabang dalam seni pementasan adalah bacaan dramatik (dramatic reading).
Bacaan dramatik adalah persembahan seni yang wajar diberikan perhatian.
Dalam ranah pementasan drama Melayu di Singapura, cara pembacaan sebegini jarang digerakkan.
Dalam bacaan dramatik, naskhah drama terpilih akan dibaca, dengan barisan pelakon melantunkan bacaan dengan kesan suara yang disejajarkan dengan parasaan kepada watak yang dibawa.
Bacaan dramatik bukanlah pementasan penuh dengan set latar dan tata rias untuk pelakon. Sebaliknya, bacaan dramatik dilakukan di atas pentas, dengan para penonton dapat menyaksikan pelakon yang melantun bacaan naskhah di hadapan mereka.
Para penonton yang menyaksikannya, atau lebih tepat mendengar bacaan dramatik, perlu membayangkan adegan dan watak-wataknya.
Ini memerlukan konsentrasi mendengar bacaan skrip dengan baik, dan pastinya dapat menimbulkan kesan kepada para pendengar/penonton.
Lantunan suara pelakon yang tinggi rendah, suka-duka, tawa-riang dan gundah-gulana dan sepertinya itu harus tertangkap dalam pembacaan sebegini.
Menurut Saini KM, seorang tokoh teater dari Indonesia, teater yang hidup dapat membuat khalayaknya, “betul-betul terjaga dan dengan mata nyalang melihat diri dan masalah-masalahnya dengan sejernih-jernihnya dan sedalam-dalamnya.”
Beliau menjelaskan secara tuntas:
“Teater yang hidup adalah teater yang di satu pihak tidak kehilangan kemandiriannya sebagai seni kreatif, di pihak lain tidak memalingkan diri dari kehidupan. Ia tetap mempertahankan nilai intrinsiknya sebagai seni dengan setia dan tunduk kepada kaedah-kaedah kesenian dalam mewujudkan dirinya. Dengan cara demikian ia tetap menjadi lembaga masyarakat yang khas dan mandiri, dengan apa masyarakat menghayati dan mengungkapkan pengalamannya demi pengalaman itu sendiri. Ertinya, dalam teater yang hidup segala upaya diarahkan terhadap penjernihan, pendalaman dan peluasan pengalaman, bukan untuk wang, kekuasaan, populariti, apalagi iseng.”
Bacaan dramatik, walaupun bukan persembahan teater sepenuhnya, tetap memenuhi kemampuan untuk menggerakkan sebuah teater yang hidup.
Main Tulis Group (MTG)
Pada Sabtu, 31 Jan 2026, bacaan dramatik yang dinamakan Nusantara Open Circle (NOC) dipentaskan di Annexe Studio, The Esplanade, Singapura. NOC diusahakan secara bersama oleh MTG dan Esplanade.
Ini adalah tahun kedua sesi bacaan dramatik ini dipentaskan dengan tiga naskhah drama dari Indonesia, Malaysia dan Singapura dipentaskan.
Pada NOC 2025, tiga karya pengarang drama telah dibacakan. Ia adalah dari Moli Mohter (Singapura), Aziz Azthar (Indonesia), dan Arief Hamizan (Malaysia).
Pembacaan dramatik tahun ini bertemakan “Lapar”. Apabila penyertaan dibuka, puluhan skrip diterima tetapi hanya tiga skrip yang terpilih, dengan setiap satu mewakili karya dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Main Tulis Group (MTG) adalah sebuah kolektif seni teater dari Singapura. Ia terdiri daripada beberapa dramawan muda yang masing-masing mempunyai pelbagai kerjaya.
Cik Nabilah Said adalah antara pendiri MTG. Pendiri lainnya, Sab Dzulkifli, menyebut bahawa MTG adalah kumpulan yang “sedia berbagi, dan bermentor antara satu sama lain, selain menjadi mentor kepada generasi dramawan seterusnya.”
Sejak penubuhannya, MTG telah menjayakan pementasan drama Inggeris dan Melayu. Tahun ini genap satu dekad penubuhan MTG.
Sekiranya kita memerhatikan susunan pembacaan yang dianjurkan oleh MTG pada Sabtu lalu (31 Jan), akan kita kesani beberapa kekuatan atau kelebihannya:
Kelebihan bacaan dramatik seperti ini sangat mudah diakses. Bacaan dramatik yang tersaji dalam NOC tahun ini tiada rambu-rambu karya seni yang “atas-atas,” atau jenis yang sukar difahami.
Sebaliknya ia padat mengalir. Temanya juga begitu jelas.
Dalam sesi NOC ini, kita boleh menyaksikan para pelakon, aktivis teater, pengkaji dan ahli akademik serta para pelajar dan belia.
Menarik lagi, pembacaan ini yang dilantunkan dalam Bahasa Melayu bukanlah jenis yang mendayu-dayu dan diberikan terjemahan sari kata pada dialog dalam Bahasa Inggeris.
Terjemahan di layar sangat membantu penonton yang tidak menguasai Bahasa Melayu.
Demografi penonton yang hadir juga berbilang kaum dan budaya. Ini satu petanda yang baik dalam masyarakat majmuk seperti Singapura.
Bacaan dramatik sebegini bukanlah teater drama konvensional yang berdurasi sejam atau lebih, dan selepas selesai menyaksikannya, penonton bersurai dengan seribu tanda tanya tentang drama yang baru dipentaskan itu.
Bacaan dramatik yang berlangsung dalam Nusantara Open Circle (2026), menghadirkan tiga bacaan drama, setiap satu berdurasi 30 minit dengan sesi soal jawab selepas itu.
Acara yang padat ini ditutup dengan sebuah forum perbincangan antara pengarang drama, serta wakil daripada kumpulan drama dari tiga negara yang mengambil bahagian dengan Cik Nabilah sebagai moderator.
Nusantara Bergabung
NOC 2026 menampilkan tiga kumpulan drama teater yang bekerjasama yakni MTG dari Singapura, Teater Panas Panas dari Kuala Lumpur dan Indonesian Dramatic Reading Festival.
Setiap negara diwakili oleh karya yang terpilih. Dari Indonesia, pengarang drama Cik Maudy Puteri Agusdina, dengan karyanya berjudul “Amuk.”
Menariknya, pelakon tempatan dari Singapura yang membaca skrip drama dalam Bahasa Indonesia.
Barisan pelakon termasuk Fadly Awaludin, Suhaili Safari, Al-Hafiz Hosni, Lyn Hanis Redzuan, Giovanni Harris yang masing-masing memperlihatkan bacaan mantap dan meyakinkan.
Dari Malaysia, karya berjudul “Akademi,” hasil ilham penulis yang berbakat Cik Adriana Nordin Manan, terserlah kedwibahasaannya.
Tema ceritanya berlegar-legar tentang dunia scamming (penipuan online) yang licik dan jahat. Yang licik pun harus bersedia dibaham oleh yang lebih ganas dan kejam.
Paling menarik ialah tiga pelakon asal Singapura yang sangat petah membaca skrip dengan segala macam lenggok bahasa dari Semenanjung Malaysia. Tiga pelakon tersebut ialah: Ruzaini Rashid, Rizal Aiman, dan Ali Mazrin.
Dari Singapura, karya “Mandi Bunga,” dibawakan dengan bertenaga oleh Rilla Melati, Norsiah Ramly, Siti Zuraida dan Rusydina Afiqah.
Skrip hasil ilham Cik Norenshah Sahari, seorang pendidik dan penggiat seni asal Singapura, tetapi sudah lama bermastautin di Kuala Lumpur.
Ceritanya berkenaan dua perempuan yang berjumpa seorang tukang telek, bertanyakan tentang hubungan dengan kekasih mereka.
Bagi generasi yang pernah menyaksikan amalan mandi bunga, tema dalam cerita ini membawa kita mengenang dan menilai amalan-amalan terdahulu.
Seperti karya seni yang lain, seri seni pementasan drama terletak pada inti cerita yang dibawa.
Para penonton terpanggil untuk menimbangkan apa yang sudah dilantunkan.
Bagi Seno Gumira Ajidarma, fakta dan tanggapan tidak boleh diterima mentah-mentah sebagai kebenaran mutlak, selagi kita belum mampu untuk memahaminya secara kritis.
“Sastera punya alat-alat yang sudah dikenal orang, bahasa, alur, plot, dan lain-lain yang memiliki 'literary effect' atau 'critical effect'. Tapi selama sastera hanya mengukuhkan apa yang sudah ada, ia tidak akan sama posisinya dengan yang membongkar dan menyambung kebudayaan."
"Kebudayaan yang berjalan di tempat, dengan yang tumbuh terus itu akan sangat berbeda. Kita harus ingat kalau pemberontakan itu hanya bertolak dari tradisi.”
Banyak keistimewaan yang ada pada pembacaan dramatik. Sekali dengar, ia seperti drama radio yang pernah berkumandang di udara.
Bacaan dramatik ini wajar diperluaskan dan disokong. Pastinya ia bukan gantian kepada drama teater yang konvensional.
Bacaan dramatik boleh menjadi pentas awal atau persada seni, di mana ia menjadi wadah untuk menggalakkan penulisan skrip drama yang ampuh.
Ia juga boleh menjadi tempat para pelakon berlatih dan mendapat pendedahan untuk mengasah seni lakonan mereka.
MENGENAI PENULIS
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/az
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.