Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mahligai impian lenyap akibat banjir teruk, Ebby Yus ubati duka bina rumah baru

Anggaran Waktu Membaca:

Ditimpa musibah akibat cuaca melampau dan taburan hujan yang tinggi, kediaman pelakon dan pelawak Ebby Yus di Hulu Langat, Selangor turut hancur sekelip mata dek bencana alam yang tidak diduga itu, lapor Astro AWANI.

Apa cerita terbaru Ebby menjelang Ramadan, selepas hampir empat bulan mahligai impiannya lenyap?

"Ya, sabar duhai hati, kurang 10 hari lagi, saya akan mendiami rumah sendiri hasil wang titik peluh berdekad lamanya sebagai anak seni.

"Rumah kecil sedikit tetapi cukup untuk berteduh daripada hujan dan panas. Lebih penting, jauh sedikit daripada sungai dan kurang terdedah untuk dihanyutkan lagi,'' kata Ebby, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat, baru-baru ini.

Rumah baru dibina itu bernilai lebih kurang RM56,000 (S$17,993) dibangunkan dengan bantuan kerajaan selepas rumah lama yang diusahakan pembinaannya musnah dalam banjir Disember lalu.

Hanya selepas enam bulan siap pembinaan rumah baru ini, ia boleh diubah suai mengikut rekaannya sendiri, lapor Astro AWANI.

"Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali, rumah baru dibina jauh dari tebing sungai, kira-kira 50 meter dari tapak asal.

"Lokasinya lebih ke belakang dan saya harap sangat tiada lagi bah besar berulang seperti 1971 dan tahun lepas," ujar Ebby.

Katanya, selepas enam bulan, rumah baru itu akan dibina lebih luas dan lebih selesa bagi membolehkan keluarga besarnya berkumpul.

"Masa kejadian ramai kawan-kawan bagi duit. Jadi, saya nak guna duit itu untuk sambung rumah. Lagi pun, biar mereka nampak hasil duit mereka, iaitu saya bina rumah."

"Saya pun secara peribadi mahu bina rumah ikut cita rasa sendiri dan biarlah usaha itu nampak pada rumah itu nanti. Inilah nilai harga pembabitan saya dalam industri seni. Jadi, saya juga tidak lagi menyewa,Alhamdulillah jika dapat duduk di rumah sendiri, hasil titik peluh sendiri,'' kata beliau, penuh harapan.

"Sepatutnya rumah itu (yang lenyap) jadi tempat perhimpunan keluarga untuk sambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Tetapi semuanya kehendak Allah. Jadi, kita duduk dulu rumah baru. Nanti boleh ubah suai,'' kata lelaki bujang ini yang menganggap rumah itu sangat istimewa kerana dibina hasil titik peluh sendiri selama tiga dekad dalam gelanggang seni.

Sentiasa bersikap optimis, Ebby mengakui, banyak hikmah dikutip sejak peristiwa banjir menimpa dirinya.
"Sekurang-kurangnya, apabila bencana berlaku, orang tahu rumah saya musnah. Tetapi orang juga tahu, artis juga ada usaha, dan menyimpan wang untuk masa hadapan. Namun setakat itu sajalah pinjaman yang diberikan Allah," katanya.

Dia turut mengakui, sifat berlapang dada menerima setiap takdir yang tertulis membuatkan dirinya kuat untuk memulakan fasa baru dalam kehidupan, demi keluarga tercinta, katanya seperti dinukil Astro AWANI.

"Doakan semuanya dipermudah, rezeki lancar, kesihatan baik. Saya bukan suka meminta-minta cuma inginkan doa daripada semua supaya saya akan terus beristiqamah dengan kekuatan dan kesabaran ini, " kata Ebby mengakhiri perbualan.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan