Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mahkamah tetapkan perbicaraan Yasin pada Mac tahun depan berhubung tiga tuduhan dadah baru

Anggaran Waktu Membaca:
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen menetapkan 15 hari bermula Mac tahun depan bagi perbicaraan tiga pertuduhan dadah yang dihadapi penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman, lapor Astro Awani, pada Isnin (22 Ogos).

Hakim Jamaludin Mat menetapkan perbicaraan pada Mac 2023 itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadang dan ditetapkan.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 10, 13 hingga 17 Jan 20 hingga 24 Mac.

“Walaupun kita telah cuba seawal mungkin namun kami percaya bahawa mahkamah juga ada keutamaan dan juga ada susunan susur atur kes yang lebih lama selain kes Yasin. Jadi kami menghormati keputusan mahkamah itu," kata peguam yang mewakili Yasin, Encik Ariff Azami Hussein yang ditemui media di ruang luar mahkamah.

Sebelum ini, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan dan ketiga-tiga kes dibicarakan bersama, menurut laporan Astro Awani.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya sebelum perbicaraan bermula.

Pada 6 Julai lalu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baru iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Mengikut pertuduhan baru itu, Yasin, didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada 24 Mac 2022.

Yasin, 47 tahun, yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Yasin turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan, Yasin berdepan dengan peruntukan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 24 Mac 2022 juga.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 (S$1,554) atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, abang Yasin, Encik Zain Sulaiman, 50 tahun, yang turut hadir semasa sesi di mahkamah berharap agar ada perkembangan yang lebih baik dalam kes membabitkan adiknya itu.

“Insya-Allah kami amat harapkanlah ada sesuatu yang baik di penghujung kes ini dan kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua yang memberi sokongan kepada Yasin,” katanya, dipetik daripada laporan Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan