Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mahasiswa Melayu NUS sajikan pementasan & forum bincang masalah mental wanita senja

Peranan insititusi sosial dalam membantu pesakit mental, menjadi fokus acara pentas budaya oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS) tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Peranan insititusi sosial dalam membantu pesakit mental, menjadi fokus acara pentas budaya oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS) tahun ini.

Berjudul "Bisikan Sukma: Di Kala Naluri Meronta", isu itu dibincangkan dengan lebih mendalam lagi menerusi forum yang dianjurkan buat julung-julung kalinya, sempena pementasan tersebut.

BINCANG LEBIH MENDALAM SOKONGAN, BANTUAN SAKIT MENTAL
Isu kekeluargaan seperti perkahwinan dan kemahiran keibubapaan antara punca gangguan kesihatan mental yang dihadapi penduduk negara ini terutama golongan wanita.

Itulah yang ingin ditonjolkan barisan pelakon muda itu selain memecahkan stigma terhadap masalah penyakit mental, di samping meningkatkan kesedaran terhadap sokongan yang disediakan, menerusi platform teater.

"Isu kesihatan ini semakin dibincangkan dan kami rasa isu ini amatlah relevan. Penyakit mental ini boleh dilalui oleh sesiapa saja tidak kira usia atau agama.

"Dengan ini, kami ingin para penonton tahu lebih lanjut tentang penyakit ini dan wadah yang ada sekiranya ada sesiapa yang mengalami keadaan sebegini," kata Nurhelmy Hakim Irwan, Pengarah dan Penasihat bagi projek tersebut.

PEMENTASAN BERDASARKAN KISAH SEBENAR

Latihan bagi pementasan itu bermula sejak Ogos tahun lalu, dengan penulisan skrip, berlandaskan kisah-kisah sebenar.

"Sebenarnya isu kemurungan ini merupakan sesuatu yang mempunyai banyak salah tanggapannya, tapi bukan untuk wanita yang senja sahaja, jadi mungkin ada ruang yang lebih besar lagi untuk kita membicarakan isu ini," tambah Suhailah Sulaiman, yang melakonkan watak utama iaitu 'Idah'.

Menyedari perlunya sokongan kepada mereka yang menghidap penyakit kesihatan mental, satu sesi forum diadakan sempena pementasan kali ini.

Bertajuk “Sokongan & Pemulihan: Kami semua memainkan peranan!” ia diharapkan mendidik orang ramai mengenai kesengsaraan dan kesukaran yang dihadapi pesakit dan mampu menjadikan suara mereka diterima dalam masyarakat.

"Kami juga buat pertama kali akan menyediakan sari kata Inggeris untuk pementasan ini, untuk menarik lagi perhatian

"Kami ingin juga menggalakkan tentang perbincangan isu-isu yang berat sebegini agar masyarakat kami lebih prihatin dan mengambil berat tentang isu-isu yang membelenggu masyarakat kami," ujar Erna Adlina Kamarul Azman, Penerbit Bisikan Sukma.

Anggota panel dalam forum itu termasuk Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Encik Amrin Amin, selain aktivis sosial Cik Atikah, dan Ustazah Kalthom Isa daripada anggota Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), serta Cik Hamidah Otheman, seorang kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Bisikan Sukma dipentaskan pada Jumaat dan Sabtu ini, dan tiket boleh diperolehi melalui laman Facebook NUS Pentas Budaya atau di laman http://bit.ly/pentasbudaya2018. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan