Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

‘Magis’ Siti Nurhaliza; tirai konsert jelajah dibuka gilang-gemilang di Indonesia

Konsert jelajah pertama penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza, dibuka dengan penuh gah di Indonesia. 

Anggaran Waktu Membaca:
‘Magis’ Siti Nurhaliza; tirai konsert jelajah dibuka gilang-gemilang di Indonesia

Indonesia lokasi pertama konsert jelajah Siti Nurhaliza kerana umpama “rumah kedua” baginya. (Gambar-Gambar: Shiraz Projects)

BERITAmediacorp: Konsert jelajah pertama penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza, dibuka dengan penuh gah di Indonesia. Ternyata, kehebatan vokalnya masih ‘memukau’ dan mengagumkan. Begitulah ‘magisnya’ insan seni bernama Siti Nurhaliza.

Walaupun hujan renyai-renyai pada Khamis (21 Feb), para peminat Siti berduyun-duyun tiba di Stadium Istora Senayan, Jakarta sejak petang lagi.

Bukan sahaja peminat dari Indonesia, malah ada juga yang sanggup terbang ke sana dari Singapura, Malaysia dan Brunei semata-mata untuk menyaksikan penyanyi kesayangan mereka beraksi. Ini adalah konsert jelajah yang pertama sepanjang pelibatan Siti dalam industri hiburan selama 23 tahun.

Persembahan wayang kulit pada tabir pentas memberi isyarat kepada para penonton bahawa konsert sudah bermula.

IRAMA TRADISIONAL PEMBUKA KONSERT

Sebaik tirai dibuka, sosok tubuh Siti yang anggun kelihatan berpakaian tradisional berwarna biru firus lengkap bersanggul lintang. Lagu-lagu tradisional seperti Badarsila, Joget Berhibur dan Joget Kasih Tak Sudah bergema di seluruh stadium.

Irama tradisional dipilih sebagai pembuka konsert kerana “kita sama serumpun. Kita sama-sama memahami budaya dan bahasanya”, kata Siti. Siti turut memberikan penghargaan kepada legenda irama Malaysia, Allahyarham Pak Ngah Suhaimi Mohd Zain.

Beliau kemudian mendedikasikan lagu-lagu seperti Nirmala, Balqis, Hati Kama dan Cindai, kepada Allahyarham. Lagu-lagu ini adalah antara irama tradisional yang begitu popular dalam kalangan peminat Siti di Indonesia.

Siti juga mengucapkan terima kasih kepada para peminat dan berkata Indonesia menjadi lokasi pertama bagi konsert jelajah ini kerana umpama “rumah kedua” baginya.

“Indonesia menjadi lokasi pertama konsert saya. Begitu istimewa Indonesia di hati saya. Ini adalah rumah kedua saya.”

PENONTON DIBUAI MEMORI AWAL SITI DALAM INDUSTRI

Para penonton kemudian dibuai memori awal kerjaya Siti dalam industri hiburan, dengan lagu-lagu balada bernada tinggi seperti Biarlah Rahsia, Demi Kasih Sayang, Bila Harus Memilih, Intrig Cinta dan Pastikan.

Lagu-lagu ‘medley’ dalam segmen kedua antaranya adalah dari album Transkripsi, sebagai sanjungan Siti kepada para karyawan muzik dan artis Indonesia, seperti Glenn Fredley dan Melly Goeslaw, yang telah bekerjasama dengannya.

Tentunya konsert ini tidak akan lengkap tanpa lagu-lagu sentuhan Allahyarham Adnan Abu Hassan, yang menjadi titik tolak kerjaya Siti dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang HMI.

Terbukti gelaran penyanyi bersuara emas memang milik Siti apabila beliau melantunkan balada hits seperti Wajah Kekasih, Jerat Percintaan, Purnama Merindu dan Aku Cinta Padamu dengan cukup sempurna.

Sebagai penambah ‘seri’ dan satu kelainan yang ditonjolkan dalam konsert itu adalah kemunculan ahli akrobat yang membuat pertunjukan simbolik di tengah-tengah stadium bagi mengiringi dendangan lagu Purnama Merindu.

Kali ini, para penonton turut sama berdiri dan menyanyi dengan Siti apabila beliau mendendangkan lagu Seindah Biasa, di mana beliau berduet dengan penyanyi Indonesia Tulus. Siti sempat berseloroh untuk bekerjasama dengan Tulus dalam sebuah album.

Tulus kemudian menghiburkan penonton dengan hitsnya, Jangan Cintai Apa Adanya dan Sewindu semasa Siti bersiap bagi segmen ketiga.

SITI ‘BERTING TING TANG TING’

Selain Siti, anaknya Siti Aafiyah Mohd Khalid, turut menjadi perhatian dan mungkin juga merupakan penonton paling cilik.

“Kalau dulu saya lahirkan album, sekarang saya sudah lahirkan anak,” ujar Siti, disambut tawa para penonton.

Siapa tidak tahu, si comel Siti Aafiyah menjadi inspirasi Siti. Maka, Siti pun ‘berting ting tang ting’ menerusi lagu Comel Pipi Merah versi akustik.

Vokalnya juga begitu menyerlah dalam segmen ketiga di mana beliau diiringi oleh empat pemain gitar, termasuk Andre Dinuth dari Indonesia dan Aubrey Suwito yang menjadi pengarah muzik bagi konsert itu.

Para penonton dihiburkan dengan lagu terbaru Siti, Anta Permana, sebelum beliau mengajak mereka untuk sama-sama menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ buat suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa yang menyambut ulang tahun ke-60 awal minggu ini.

Siti kemudian menyanyikan lagu Jaga Dia Untukku yang diciptakan selepas suami kesayangan mengalami kemalangan di New Zealand pada 2012, sebelum mengakhiri konsert dengan Bersandar Cinta yang beliau dedikasikan khas buat para peminatnya.

Susunan muzik bagi konsert kali ini, meski sedikit berbeza, masih mampu menghidupkan suasana. Namun masih juga ada ruang-ruang yang boleh dipertingkat. Sistem bunyi yang kuat ada kalanya menenggelamkan suara Siti.

Set pentasnya berwarna-warni, bermain dengan lampu dan grafik, namun kedudukannya agak jauh dan tinggi. Maka, Siti juga kelihatan agak jauh daripada penonton.

Sekitar 3,000 penonton hadir menyaksikan konsert itu, iaitu kira-kira 70 atau 80 peratus daripada jumlah yang boleh ditampung oleh Stadium Istora Senayan. Walaupun para penonton Indonesia agak ‘sporting’ dan turut sama berdiri dan bernyanyi, mungkin ‘mood’ konsert akan lebih bertenaga sekiranya lebih ramai memenuhi stadium.

RAKAN-RAKAN ARTIS BERI SOKONGAN

Rakan-rakan artis dari Indonesia seperti Rossa, Baim Wong dan isteri Paula Verhoeven, Ressa dan Yura Yunita, juga tidak mahu ketinggalan menyaksikan Siti dan memberikan sokongan padu.

Dari Malaysia pula rakan-rakan artis seperti Fara Fauzana, Zulin Aziz dah Nana Mahzam turut hadir. Malah penyanyi Hyrul Anuar dari Singapura juga terbang ke Jakarta untuk turut menyaksikan konsert.

“Saya sangat teruja. Terima kasih Siti. Persembahan cukup mantap dan memang tak cukuplah kalau dikatakan. Lagu-lagu yang lama-lama dinyanyikan semula,” kata beliau.

Satu konsert sudah berakhir dan seterusnya, giliran Singapura dan Malaysia pula. Pastinya, Siti akan mempersembahkan konsert yang lebih gah di Singapura pada 2 Mac dan Malaysia pada 16 Mac ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan