Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Liza Hanim juara Gegar Vaganza 2017? Yang pasti, 'Saya sudah bersedia kembali'

“Saya sudah bersedia kembali”. Itulah pengakuan penyanyi Liza Hanim untuk kembali mewarnai dunia hiburan sekali lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Liza Hanim juara Gegar Vaganza 2017? Yang pasti, 'Saya sudah bersedia kembali'

Penyanyi Liza Hanim. (Gambar-gambar: Instagram/lizahanim79)

Diterbitkan : 18 Nov 2017 01:28AM Dikemas Kini : 18 Nov 2017 01:46AM

BERITAMediacorp: “Saya sudah bersedia kembali”. Itulah pengakuan penyanyi Liza Hanim untuk kembali mewarnai dunia hiburan sekali lagi.

Pengakuan yang dibuatnya setelah bersetuju menyertai Gegar Vaganza 2017 sekarang ini. Pengakuan yang dibuatnya kepada BERITAMediacorp sedang peminat hiburan kini tertanya-tanya, apakah Liza Hanim yang bakal menjuarai Gegar Vaganza 2017.

Bagi anak-anak muda yang kurang mengenali Liza Hanim, beliau seorang penyanyi serba boleh yang dikategorikan sebagai sebaris dan sezaman dengan Siti Nurhaliza, kerana memulakan kerjaya seninya pada tahun 1994.

Beliau pernah cukup terkenal menerusi lagu-lagu balada yang menjadi siulan ramai seperti Siapa Sangka Siapa Menduga, Andainya Aku Bersuara dan Getaran Cinta Di Jiwa.

“TERTEKAN” KERANA JADI ‘HOT FAVOURITE’

Kini, Liza Hanim disebut-sebut menjadi ‘hot favourite’ untuk menang GV disebabkan prestasinya dalam tiga minggu pertama, sehingga memperoleh markah tertinggi setiap minggu dari juri professional. Episod keempat akan menyusul malam esok (19 Nov).

“Saya hanya cuba lakukan sehabis baik saya mampu. ‘Favourite’ atau tidak bukan soalnya. Tiada gunanya jadi favourite tapi saya buat sambil lewa. Perlu bersungguh-sungguh,” kata Liza.

Namun beliau akur, menjadi ‘hot favourite’ dari awal lagi untuk pertandingan gah sedemikian memang memberi tekanan.

“Tertekan! (Ketawa). Kerana sudah tentu dah ada jangkaan tinggi dari semua. Saya dah biasa jadi ‘underdog’ selama ini. Ini adalah sesuatu yang baru bagi diri saya,” kongsi Liza kepada BERITAMediacorp. Beliau sebelum ini pernah terlibat untuk teater muzikal P.Ramlee the Muzikal.

LIZA HANIM DI MATA JURI

Kehebatan Liza dalam GV sememangnya terserlah. Pada minggu kedua, beliau hanya sempat berlatih sekali sahaja dedah juri Dato Ramli MS. Meskipun begitu, beliau tetap mampu memberikan persembahan yang mantap sehingga berjaya membuat ramai terpegun pada malam tersebut.

Apakah rahsia beliau pada malam tersebut?

“Fokus. Kerana mengetahui yang saya memang tak dapat membuat latihan seperti biasa, saya berikan perhatian sepenuhnya pada kesempatan yang ada. Saya rakamkan apa yang saya latih. Memang mencabar, dan saya perlu simpan tenaga jugak pada ketika itu kerana berada di luar negara. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan saya pada hari itu,” kongsi Liza.

BERITAMediacorp sempat menghubungi salah seorang juri tetap GV 2017 iaitu Hetty Koes Endang mengenai prestasi Liza Hanim selama tiga minggu berturut-turut program tersebut dikendalikan.

Ini komen Hetty: “Kesemua peserta bagus …. Dia sudah siap untuk “tempur”. Dia memang bagus juga untuk minggu ketiga. Dia dicabar dengan irama rok. Kalau sebelum ini, dia bawa lagu-lagu slow, lagu rok pun dia ok”.

Lantaran itulah ada pemerhati yang membuat ramalan bahawa Liza akan menang tahun ini. Namun beliau sempat berpesan agar “jangan terlalu berharap. Doakan saya dapat membuat persembahan yang terbaik dan sentiasa sihat InsyaAllah”.

LIZA HANIM MERAJUK SEBELUM INI?

Dilahirkan dengan nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim, BERITAMediacorp difahamkan, Liza, yang kini berusia 38 tahun pernah mendapat tawaran untuk menyertai program GV bagi musim-musim sudah.

Namun hanya untuk musim 2017 ini beliau bersedia menerima lamaran pihak penerbit untuk bertanding. Musim ini juga, Liza berentap dengan idolanya iaitu penyanyi Aishah untuk GV 2017.

Jadi, ke mana perginya anak didik komposer Adnan Abu Hassan itu selama ini?

“Saya dan suami menguruskan perniagaan sebenarnya. LH Media Sdn Bhd, yang dah beroperasi selama 11 tahun, sebuah perniagaan berteraskan pengiklanan dan pengurusan acara. Selama ini, kita duduk di depan tabir, jadi sepanjang saya hilang, saya belajar kerja- kerja belakang tabir pulak,” jelas Liza.

Kami juga tanya apakah benar bahawa Liza Hanim sebelum ini merajuk dengan industri hiburan. Atau, memang sudah bersara dari dunia hiburan sebelum kembali menerusi GV 2017?

“Tak merajuk lah, kenapa nak merajuk? (ketawa). Dengan syarikat yang memerlukan perhatian bagi memastikan ia dapat kekal dan berjaya, sudah tentu saya harus beri perhatian sepenuhnya. Kemudian, saya dikurniakan rezeki anak. Alhamdulillah.

“Jadi ada pengorbanan yang harus saya lakukan pada ketika itu. Sekarang saya ada empat orang anak dan saya cukup bahagia alhamdulillah kerana telah membesarkan mereka sendiri,” terangnya pada BERITAMediacorp.

Beliau tidak menafikan penyertaannya untuk Gegar Vaganza adalah atas desakan peminat-peminat setianya yang syorkan agar beliau bertanding.

Dengan penuh keyakinan isteri kepada bekas anggota kumpulan Indigo iaitu Mohamed Shahrin dan pernah menjadi naib juara untuk pertandingan Golden Teen Search 1996 mengatakan:

“Peminat dah bertahun menyeru saya menyertai GV, kebetulan pulak tahun ini saya ada kelapangan dan saya tekadkan diri. Senang cerita ini semua perancangan Allah dan saya memang dedikasikan perjuangan saya di GV untuk peminat saya yang sangat saya hargai.”

Sebenarnya ramai juga yang terkejut apabila Liza diumumkan sebagai salah seorang peserta yang bakal bertanding untuk Gegar Vaganza 2017 kerana sebelum ini, tiada pula khabar angin mengenai penyertaannya.

Liza berkongsi bahawa beliau sebenarnya diamanahkan untuk merahsiakan dahulu penyertaannya untuk Gegar Vaganza 2017 sehinggalah ke pengumuman rasmi yang dibuat oleh pihak penerbit rancangan tersebut.

Yang pasti, ramai yang kini menantikan, sama ada suara emas Liza Hanim akan sekali lagi bergemerlapan dengan gelaran Juara Gegar Veganza.

Sumber : BERITA Mediacorp/fh/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan