Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Liza Hanim alami pendarahan sebelum konsert Esplanade

Semasa berada di Singapura untuk mengadakan konsert, penyanyi Liza Hanim mengalami pendarahan secara tiba-tiba. Beliau sedang mengandung ketika itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Liza Hanim alami pendarahan sebelum konsert Esplanade

Penyanyi Liza Hanim semasa konsert Dua Diva di Esplanade pada Julai. (Gambar: @lizahanim79/Instagram)

Diterbitkan : 27 Sep 2018 11:42PM Dikemas Kini : 27 Sep 2018 11:55PM

BERITAmediacorp: Semasa berada di Singapura untuk mengadakan konsert, penyanyi Liza Hanim mengalami pendarahan secara tiba-tiba. Beliau sedang mengandung ketika itu.

Peristiwa mencemaskan lagi menakutkan itu berlaku sekitar tiga atau empat jam sebelum konsert Dua Diva di Esplanade pada Julai lalu, yang menampilkan Liza dan juga Aishah.

Hakikatnya, ramai yang tidak tahu langsung bahawa ketika penyanyi bersuara lemak-merdu tersebut berkonsert, beliau sudah disahkan hamil tiga bulan. Namun, Liza dan suami sengaja merahsiakannya dari pengetahuan umum ketika itu.

Siapalah yang boleh bersangka demikian, mentelah lagi semasa konsert tersebut persembahan Liza Hanim mantap, bertenaga seperti biasa dan mempesonakan, seolah-olah beliau sihat-sihat sahaja pada malam tersebut. Liza malah merahsiakan kejadian itu dari penganjur konsert.

Ketika kejadian pendarahan itu berlaku, ibu kepada empat orang anak itu sedang berehat-rehat di hotel. Hanya suaminya, Shah (anggota kumpulan Indigo), dan pihak pengurusan Liza Hanim mengetahuinya. Ini yang Liza, 38 tahun, kongsi kepada BERITAMediacorp mengenai pengalaman yang benar-benar mencemaskan ketika itu:

“Saya ke tandas. Pendarahannya tidak teruk sangat. (Namun) untuk mana-mana kehamilan, pendarahan itu adalah kebimbangan bagi mana-mana ibu, lebih-lebih lagi fresh blood (darah segar).”

(Gambar: @lizahanim79/Instagram)

SEDIH, MENANGIS, CARI KLINIK DEKAT ESPLANADE

Liza mengaku beliau berasa sedih dan menangis terus kerana sayang pada kandungan tersebut dan tidak mahu apa-apa berlaku pada kandungannya. Pada masa yang sama, beliau juga tidak mahu menghampakan peminat yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan konsert beliau.

Mujur suami Shah dapat menenangkannya pada ketika itu.

“Abang Shah suruh saya berzikir dan bertenang. Ia dapat menenangkan saya. Saya amat risau tentang kandungan saya dan juga konsert. Takut tak dapat naik pentas. Menakutkan,” katanya.

Ketika itu jugalah Liza menghubungi doktor sakit puannya di Kuala Lumpur untuk mendapatkan nasihat. Liza disarankan untuk mendapatkan ubat dari farmasi buat sementara waktu.

Pengurus Liza cuba untuk mendapatkan ubat dari farmasi namun gagal kerana dimestikan ada preskripsi doktor. Tiada jalan lain bagi Liza dan beliau terpaksa ke klinik berdekatan Esplanade dengan harapan dapat diberikan ubat yang diperlukan. Namun doktor menasihati Liza untuk segera dan terus ke hospital kerana klinik tersebut tiada mesin imbasan.

Liza sempat ke tandas lagi dan mendapati bahawa pendarahannya sudah reda. Beliau kemudian menyarankan kepada suaminya agar mereka pulang sahaja ke Esplanade. Terang penyanyi kelahiran Klang Selangor itu:

“Kita tawakkal, insya Allah bayi akan ok, tapi saya perlukan mereka lakukan semua untuk saya sebab saya tak nak banyak bergerak. Sudah tentunya suami dan pengurusan saya menjaga saya dari awal macam menatang minyak yang penuh. Mereka tahu saya mabuk teruk. Mereka pastikan saya selesa tanpa memberitahu sesiapa saya mengandung.”

KHUSYUK HIBURKAN PENONTON HINGGA LUPA PENDARAHAN SEKETIKA

Ketika Liza menyanyi di pentas, beliau hanya sempat duduk seketika. Ada pula peminat yang perasan bahawa pergerakan Liza di pentas agak terhad pada malam tersebut, tidak seperti persembahan Liza yang lain sebelum ini.

Penyanyi yang masih lagi mempromosikan single terbarunya berjudul Mimpi itu kelihatan santai sahaja dan banyak bergurau sewaktu beraksi di pentas, meskipun dalam keadaan cemas sedemikian. Malah Liza tarik suara seperti biasa di atas pentas.

“Saya tidak cool langsung (ketawa). Tetapi bila kita lakukan sesuatu yang kita suka dan yang kita sangat sayangi menyanyi atas pentas, saya rasa selesa. Lagu-lagu saya santai dan kesemuanya balada. Meskipun perlu banyak tenaga untuk nyanyi tapi Alhamdulillah, adrenalin saya membantu saya melaluinya.”

Liza sempat menceritakan bahawa beliau seakan-akan terlupa tentang pendarahan yang dialaminya kerana apa yang terisi di kotak kepalanya adalah untuk menghiburkan dan berjumpa dengan peminat-peminatnya pada malam tersebut. Air yang disiapkan untuknya diletak di atas pentas pun beliau terlupa untuk meminumnya.

Sejurus selepas membuat persembahan, Liza ke tandas terus. Mujur tiada pendarahan sewaktu Liza Hanim beraksi di atas pentas.

“Saya sangat bersyukur Allah permudahkan jugak. Mungkin ia jugak salah satu cara Allah nak ingatkan saya bahawa saya juga harus menjaga diri saya meskipun saya bekerja,” tambah beliau.

“TERKEJUT SANGAT-SANGAT” APABILA TAHU DIRI HAMIL

Pada penghujung September ini, kandungan Liza berusia lima bulan. Beliau dijangka bersalin anak kelima pada Februari 2019 nanti. Kini, apa pula perasaan Liza Hanim akan menjadi ibu untuk kali ke lima?

“Terkejut sangat- sangat sebab kehamilan-kehamilan lain boleh dikatakan dirancang. Maksudnya, kali ini memang tidak ada perancangan untuk anak yang kelima. Bila kita fikir balik, Allah bagi rezeki ini bagi awak rasa. Allah dah jawabkan untuk saya,” jawab Liza yang turut melahirkan rasa “bersyukur sangat” dengan “kejutan yang menyenangkan dari Allah” itu.

Gambar Liza Hanim bersama keluarganya. (Gambar: @lizahanim79/Instagram)

Empat cahaya mata lain pelantun lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu ialah Marsya Qistina (15 tahun), Marissa Qaireen (9), Mohamed Salahuddin (7) dan Mohamed Ibrahim (3). Bukan Liza sahaja yang tidak menyangka akan berbadan dua lagi. Suaminya, Shah pun turut terperanjat.

“Sudah tentunya dia terperanjat. Tapi sangat gembira. Bahkan, ramai yang tak sangka bila mereka dapat tahu ramai tanya anak ke berapa? I kata kelima. Semua macam tergamam dan kata Liza suburnya (ketawa).” 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan