Les' Copaque Production saluran YouTube pertama M'sia cecah 10 juta pelanggan
Saluran YouTube milik studio animasi Malaysia, Les’ Copaque Production, berjaya mencecah 10 juta pelanggan pada Jumaat (13 Jun) sekali gus layak menerima anugerah “Diamond Play Button” daripada wadah perkongsian video online itu.
(Petikan video: Les' Copaque/YouTube)
KUALA LUMPUR: Saluran YouTube milik studio animasi Malaysia, Les’ Copaque Production, berjaya mencecah 10 juta pelanggan pada Jumaat (13 Jun) sekali gus layak menerima anugerah “Diamond Play Button” daripada wadah perkongsian video online itu.
Pencapaian ini luar biasa kerana ia merupakan saluran YouTube pertama dari Malaysia yang mencecah 10 juta pelanggan.
Kejayaan merekodkan 10 juta pelanggan itu dicapai pada jam 2.06 petang Jumaat, menurut Les’ Copaque Production dalam kenyataannya semalam.
Sehingga Februari 2020, hanya 566 Saluran YouTube di seluruh dunia yang mencapai 10 juta pelanggan.
Saluran YouTube Les’ Copaque diwujudkan pada 2009 dan kini sudahpun mencecah lebih empat bilion tontonan.
Ia memaparkan pelbagai hak intelektual hasil keluaran syarikat tersebut seperti Upin & Ipin, Puteri, Pada Zaman Dahulu, DaDuDiDo dan terkini, siri baru berbahasa Inggeris bertajuk “Upin & Ipin The Helping Heroes” yang mendapat tontonan lebih 2 juta.
Baru-baru ini, siri animasi popular Upin & Ipin mencetuskan perbualan hangat di media sosial berikutan kata-kata kontroversi daripada salah satu wataknya bernama Fizi melalui episod “Syahdunya Syawal”.
Pihak produksi sudahpun mengambil kesempatan untuk menghasilkan video permohonan maaf daripada Fizi yang mencapai 19 juta tontonan hanya dalam tempoh seminggu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.