Lepas COVID-19 'kalah' Amy janji hiburkan petugas HSB
Vokalis kugiran Search, Amy adalah antara selebriti yang menunjukkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang sedang bergelut dan berusaha dengan gigih membendung penularan COVID-19.
Vokalis kugiran Search, Amy. (Gambar: akuamysearch/Instagram)
KUALA LUMPUR: Vokalis kugiran Search, Amy adalah antara selebriti yang menunjukkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang sedang bergelut dan berusaha dengan gigih membendung penularan COVID-19.
Beliau dan isterinya, Norhasniza Hassan atau Nourish, pada Ahad (22 Mac) tampil menghulurkan sumbangan berupa makanan dan minuman petang untuk pasukan perubatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Malaysiakini melaporkan bahawa pasangan tersebut menyumbangkan sekurang-kurangnya 200 bungkus nasi lemak, bihun dan kuih-muih, serta pek minuman segera produk jenama keluaran mereka, Phewiiit Coffee Malaysia.
"Alhamdulillah, sedikit minuman petang untuk barisan hadapan kita yang bertungkus lumus memastikan keadaan pesakit-pesakit #covid19 (agar mereka) dapat merawat dengan tenang.
"Terima kasih Dr Shantini dan unit korporat komunikasi COVID-19," tulisnya di media sosial.
Amy turut berjanji sekiranya segala urusan menangani COVID-19 selesai, beliau akan datang semula ke HSB untuk menghiburkan kakitangan di sana.
Malaysiakini melaporkan bahawa Amy tidak memaklumkan kehadirannya di HSB kepada sesiapa pun terlebih dahulu, sebaliknya, hanya "main redah".
Ditanya sama ada dia bimbang atau tidak untuk mendekati hospital yang kini mengendalikan pesakit COVID-19, Amy menjawab beliau datang dengan persediaan yang rapi, dan selebihnya bertawakal, menurut Malaysiakini lagi.
"Saya datang dengan penutup hidung dan mulut, pakai sarung tangan dan pastikan bawa hand sanitizer ke mana-mana. Memang kena disiplin pasal perkara macam ni.
"Memang kalau takdirnya nak kena tu, kena juga, tapi sekurang-kurangnya saya dah ikut saranan kerajaan untuk pastikan diri sentiasa dijauhkan daripada penyakit berkenaan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.