Lelaki yang didenda RM100,000 kerana sebar filem Munafik 2 adu nasib
Gara-gara menyebarkan secara haram filem Munafik 2 ke laman Instagram dan Facebook, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM100,000 (S$32,000) yang harus dibayar kepada Skop Production.

Muhammad Izwan Shah Kamal Shah meluahkan perasaannya selepas didenda gara-gara kongsi filem Munafik 2. (Gambar: Izwan Shah/Facebook, syamsulyusoffilm/Instagram)
KUALA LUMPUR: Gara-gara menyebarkan secara haram filem Munafik 2 ke laman Instagram dan Facebook, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM100,000 (S$32,000) yang harus dibayar kepada Skop Production.
Selepas dikenakan denda, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah menulis luahan hatinya menerusi catatan Facebook di bawah nama 'Sasuke Kun'. Luahannya pula kemudian menjadi tular dan menarik perhatian ramai netizen.
"Saya yang bernama Muhammad Izwan Shah ingin memohon maaf kepada pihak Skop Production terutamanya kepada Datuk Yusof Haslam dan anak beliau Syamsul Yusof kerana saya telah menyusahkan Datuk dalam beberapa bulan ini," tulisnya seperti dipetik Astro Awani.
"Dan juga ingin memohon maaf kepada P.A Datuk dan adik perempuan Datuk sendiri kerana telah mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka."
Menurut Astro Awani, Izwan menyatakan bahawa dia sangat menyesali tindakan itu. Malah dia "tersentak" selepas perlu membayar ganti rugi kepada pihak Skop.
PERLU SARA KEHIDUPAN KELUARGA
Namun, dia tetap bersyukur tidak dikenakan hukuman penjara dan masih berpeluang untuk menjaga kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur.
"Saya tak kisah saya tak ada kereta, tak ada rumah sendiri, walau tak ada jodoh sekalipun (tak kahwin)... yang penting saya masih diberi peluang untuk menjaga ibu bapa saya," tulisnya.
Seolah-olah mengadu nasib, Izwan mengatakan bahawa beban perlu membayar RM100,000 (S$32,000) berat baginya, lapor Astro Awani.
"Biarpun sepanjang hayat saya bekerja keras semata-mata untuk membayar ganti rugi kepada pihak Skop, nilai RM100,000 tu teramatlah besar bagi orang biasa macam saya, mustahil untuk saya mendapatkan jumlah tersebut walau saya dapat hidup 100 tahun sekalipun... Tapi saya berjanji saya akan bayar juga walaupun sikit-sikit kepada pihak Skop," tambahnya.
Nasib malang yang menimpanya dia sifatkan boleh menjadi satu pengajaran untuk orang lain.
"Mana-mana individu kat luar sana yang berhasrat atau sedang giat melakukan aktiviti-aktiviti sharing link mahupun aktiviti-aktiviti yang melanggar hakcipta ini TOLONGLAH HENTIKAN, KERANA NEGARA KITA ADA UNDANG-UNDANG.
"Jangan anggap benda ni mudah dan ringan... kerana saya pun macam tu juga permulaannya tapi tengoklah sekarang... Kesan dan implikasinya yang saya sedang hadapi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.