Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Lelaki pada kulit album Nirvana tuntut ganti rugi atas dakwaan eksploitasi seksual

Spencer Elden, bayi yang menghiasi gambar kulit album ‘Nevermind’ kugiran terkenal Nirvana membuat tuntutan bernilai AS$150,000 (S$202,890) daripada kugiran tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki pada kulit album Nirvana tuntut ganti rugi atas dakwaan eksploitasi seksual

(Gambar: instagram/@spencerelden)

Diterbitkan : 26 Aug 2021 08:09AM Dikemas Kini : 26 Aug 2021 08:11AM

AMERIKA SYARIKAT: Spencer Elden, bayi yang menghiasi gambar kulit album ‘Nevermind’ kugiran terkenal Nirvana membuat tuntutan bernilai AS$150,000 (S$202,890) daripada kugiran tersebut.

Menurut laporan BBC, Elden mendakwa bahawa gambar yang digunakan oleh Nirvana pada tahun 1991 itu melanggar undang-undang dan tidak mendapatkan persetujuan.

Menurut Elden, tuntutan berkenaan dibuat atas kesalahan mengeksploitasi kanak-kanak kerana beliau ditayangkan dalam keadaan berbogel di dalam gambar tersebut.

Beliau yang kini berusia 30 tahun mendedahkan bahawa ibu bapanya juga tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian untuk membenarkan gambarnya digunakan pada kulit album tersebut.

Bagaimanapun, gambar bayi yang tidak diseksualkan secara amnya tidak dikategorikan sebagai pornografi kanak-kanak di bawah undang-undang Amerika Syarikat.

Namun, peguam Eden, Robert Y. Lewis berpendapat bahawa wang kertas Amerika yang turut ditampilkan dalam gambar itu menonjolkan bayi itu seperti "buruh seks".

Kes tersebut juga mendakwa Nirvana berjanji untuk menutup bahagian kemaluan Elden dengan pelekat, namun perjanjian itu tidak dipenuhi.

Elden mendakwa identiti sebenar dan namanya sering terkait dengan eksploitasi seksual komersil yang dilaluinya ketika masih bawah umur.

Beliau turut mendakwa melalui penderitaan dan akan terus mengalami tekanan seumur hidup akibat hasil karya album itu.

Ini termasuk tekanan emosi yang melampau dan berterusan serta gangguan terhadap pembesarannya serta kemajuan pendidikannya, di samping memerlukan rawatan perubatan dan psikologi.

Elden menuntut ganti rugi AS$150,000 daripada setiap defendan termasuk Universal Music Group, jurugambar Kirk Weddle, pemain dram Nirvana Dave Grohl, pemain bass Nirvana Krist Novoselic dan Courtney Love iaitu balu kepada penyanyi utama Nirvana, Kurt Cobain, yang meninggal dunia pada 1994. 

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan