Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Lelaki ceroboh rumah pengacara Nabil Ahmad untuk makan, tidur didenda RM3,000

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ceroboh rumah pengacara Nabil Ahmad untuk makan, tidur didenda RM3,000

Gambar fail: nabilzira/Instagram

REMBAU: Seorang lelaki didenda RM3,000 (S$875) oleh Mahkamah Majistret pada Selasa (29 Ogos) selepas mengaku bersalah menceroboh rumah selebriti terkenal, Nabil Ahmad pada Januari lalu.

Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Fadzril Aqmal Abdul Anif, 31 tahun, selepas dia mengaku bersalah.

Majistret turut memerintahkan 10 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membuat bayaran berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Fadzril Aqmal telah dengan sengaja menceroboh ke dalam rumah Ahmad Nabil Ahmad, 40 tahun, tanpa pengetahuan dan kebenarannya pada 4 Januari 2022 kira-kira jam 7.50 malam di Kampung Senama Tengah di Rembau, lapor Sinar Harian.

Berikutan itu, dia didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM5,000 (S$1,457) atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, adik kepada Raja Lawak musim kedua itu yang berusia 36 tahun telah dihubungi selebriti terbabit memaklumkan lampu dan pintu rumahnya di kampung tersebut terbuka.

Adiknya, yang juga pengadu, kemudiannya telah pergi ke rumah tersebut dan mendapati pintu besi serta pintu rumah telah rosak, manakala ruang tamu serta tiga bilik dalam keadaan berselerak, dipetik daripada Sinar Harian.

Dia juga menjumpai seluar trek, baju, kasut serta kad pengenalan tertuduh di dalam poket seluar berkenaan, namun tiada barangan berharga yang hilang.

Hasil siasatan lanjut mendapati, kejadian itu disedari oleh jirannya yang telah menghubungi selebriti terbabit pada jam 7.40 malam.

Namun ketika itu, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan kemungkinan ahli keluarga yang datang.

Bagaimanapun, Nabil telah meminta adiknya untuk memeriksa rumah tersebut kerana tiada sesiapa yang pulang ke rumah itu pada waktu kejadian.

Tertuduh mengaku telah masuk ke dalam rumah dengan cara menolak pintu dengan kuat, makan, berehat dan tidur di dalam rumah berkenaan, menurut Sinar Harian.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan