Legenda muzik India AR Rahman lancar filem pendek dengan realiti maya di SG
SINGAPURA: Legenda muzik dan pemenang anugerah Oscar asal India, AR Rahman tampil dengan arahan sulungnya 'Le Musk', sebuah filem pendek yang dijangka bakal mengubah realiti maya (VR).
Dilancarkan hari ini di Singapura, ia merupakan pengalaman VR pelbagai deria pertama di dunia yang menggabungkan penglihatan, bau-bauan dan sentuhan.
Bakal ditayangkan sehingga 12 Ogos ini, hanya 50 penonton dapat menikmatinya setiap hari.
Menerusi 'Le Musk', legenda muzik AR Rahman juga sasarkan sebuah pengalaman sinematik yang melangkaui sempadan yang mungkin terjadi.
Filem realiti maya sepanjang 37 minit tersebut, yang diterbitkan pada tahun 2022, menandakan penampilan pertama AR Rahman sebagai seorang pengarah filem.
Terkenal dengan muziknya yang ikonik, dan memberikannya pengiktirafan antarabangsa dan pelbagai anugerah,
AR Rahman kini melangkah ke dunia penceritaan alam maya, menyuntik kreativiti dan inovasi khasnya ke ruang realiti maya.
Semasa pelancarannya, AR Rahman menjelaskan 'Le Musk' memberikannya kebebasan untuk menembusi sempadan muzik serta eksperimen dengan pelbagai bunyi dan gaya baharu.
"Saya ingin cipta lagu Perancis, saya ingin cipta lagu Inggeris, dan gaya-gaya yang saya boleh kembangkan, secara muzikal.
"Jadi ini bantu saya ceburi zon di mana saya boleh lakukan apa sahaja. Tiada siapa beritahu saya apa yang boleh.
"Jadi jika anda perasan pengaruh muzik - ada unsur Armenia, ada Ireland. Ada juga unsur orkestra, serta jazz.
"Ia seperti dunia muzik yang pelbagai juga, yang sangat berbeza," ujar beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.