Legenda muzik 'country' Dolly Parton meninggal dunia pada usia 80 tahun
Dolly Parton, penyanyi muzik 'country' Amerika Syarikat, yang turut menjadi ikon budaya negara itu menerusi lagu-lagu popular seperti 'Jolene' dan '9 to 5', meninggal dunia pada usia 80 tahun, menurut keluarganya pada Selasa (25 Ogos).
Bintang muzik 'country' Amerika Dolly Parton membuat persembahan di Pyramid Stage di Worthy Farm, Somerset, semasa Festival Glastonbury pada 29 Jun 2014. (Gambar fail: REUTERS/Cathal McNaughton)
Anak saudaranya Bryan Seaver berkata artis yang pernah memenangi pelbagai anugerah itu sudah "membuka peluang kepada generasi penyanyi, penulis lagu, pemuzik dan mereka yang mengejar impian daripada segenap lapisan masyarakat."
Keluarganya tidak mendedahkan punca kematian.
Namun, penyanyi dan penulis lagu yang juga seorang pelakon, dermawan dan tokoh perniagaan berpengaruh itu sebelum ini pernah berkongsi mengenai masalah kesihatan yang dialaminya baru-baru ini. Suaminya, Carl Dean, meninggal dunia tahun lalu.
Ucapan takziah dan penghormatan mencurah-curah buat Parton, yang memenangi 10 Anugerah Grammy dan 13 Anugerah Akademi Muzik 'Country' (ACM) sepanjang kerjayanya.
ACM menyanjung "suaranya yang cukup unik, lagu-lagunya yang tidak dapat dilupakan, kemurahan hatinya dan semangatnya yang luar biasa."
"Muziknya akan terus dikenang, membawa suara dan kisahnya kepada generasi akan datang," menurut ACM.
Berita kematian Parton mencetuskan perpaduan yang jarang berlaku di sebuah negara yang sering berbeza pendapat berhubung pentadbiran Donald Trump, perang dengan Iran dan isu-isu budaya lain.
Encik Trump mengarahkan bendera Amerika dikibarkan separuh tiang di seluruh Amerika Syarikat selama seminggu bagi menghormati Parton, sambil menyifatkan pemergiannya sebagai "kehilangan besar bagi jutaan orang."
"Tiada sesiapa sepertinya, dan tidak akan ada lagi yang sepertinya," tulis Encik Trump di platform Truth Social.
Ketua minoriti Democrat di Senat Chuck Schumer menulis: "Bersemadilah dengan tenang, Dolly Parton - seorang legenda sejati dan insan yang membawa kebaikan. Semoga beliau sentiasa dikenang."
Lily Tomlin, yang berlakon bersama Parton dalam filem '9 to 5' pada 1980, memuat naik gambar hitam putih mereka berdua yang diambil beberapa dekad lalu, dengan kapsyen ringkas: "Tiada apa yang dapat diungkap."
KEHIDUPAN PARTON
Parton menghabiskan alam dewasanya dalam dunia muzik 'Americana', 'folk' dan 'country'. Sehari selepas tamat sekolah menengah, beliau berhijrah ke Nashville yang merupakan pusat muzik 'country'.
Pada 1967, ketika berusia 21 tahun, beliau sudah menjadi antara penyanyi paling dikenali dalam muzik Amerika selepas menyertai rancangan televisyen muzik 'country' Porter Wagoner yang disiarkan di seluruh negara, memperkenalkan suara dan wajahnya kepada berjuta-juta isi rumah di Amerika Syarikat.
Sepanjang kerjaya prolifiknya yang merentasi enam dekad, Parton menghasilkan sekitar 3,000 lagu.
Antaranya termasuk 'Coat of Many Colors', lagu hit daripada runut bunyi '9 to 5' dan balada ikonik 'I Will Always Love You', yang kemudian mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa menerusi nyanyian Whitney Houston.
Dengan 49 album studio serta lebih 100 album kompilasi dan kolaborasi, beliau menerima jolokan sebagai "ratu muzik country".
Parton juga tidak pernah cuba menyembunyikan penampilannya yang menyerlah.
Beliau menjadi contoh bagaimana seorang wanita mampu menguasai industri muzik yang didominasi golongan lelaki, sebelum akhirnya menjadi ikon Amerika dengan lagu-lagunya dinyanyikan semula oleh artis-artis seperti Shania Twain, Sinead O'Connor dan The White Stripes.
Tahun lalu, Parton menangguhkan beberapa konsert di Las Vegas atas masalah kesihatan yang berterusan. Pada Mei, beliau membatalkan kesemuanya, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu berhubung kesihatannya.
Dalam video yang dimuat naik ke akaun media sosialnya, beliau berkata meskipun rawatan bagi penyakit yang tidak didedahkan itu berjalan lancar, beliau belum bersedia untuk kembali membuat persembahan.
Bintang muzik 'country' Kacey Musgraves meluahkan kesedihannya di X atas pemergian legenda tersebut.
"Ini benar-benar menyakitkan," tulisnya. "Dunia tiba-tiba terasa kurang berseri."
Pelakon, penyanyi dan pencipta 'Family Guy', Seth MacFarlane, turut menulis di X bahawa "dunia terasa lebih suram tanpa beliau."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.