Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Legenda Marvel Comics Stan Lee meninggal dunia pada usia 95 tahun

Stan Lee - seorang penulis, pengarang dan penerbit yang menghidupkan watak Spiderman, Iron Man, Hulk dan pelbagai lagi adiwira Marvel Comics - meninggal dunia pada usia 95 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Legenda Marvel Comics Stan Lee meninggal dunia pada usia 95 tahun

Legenda Marvel Comics Stan Lee meninggal dunia pada usia 95 tahun. (Gambar: Mario Anzuoni/Reuters)

Diterbitkan : 13 Nov 2018 08:35AM Dikemas Kini : 13 Nov 2018 08:41AM

LOS ANGELES: Stan Lee - seorang penulis, pengarang dan penerbit yang menghidupkan watak Spiderman, Iron Man, Hulk dan pelbagai lagi adiwira Marvel Comics - meninggal dunia pada usia 95 tahun.

Berita itu disampaikan oleh anak perempuannya, J.C. Lee, semalam (12 Nov).

"Beliau berasa bertanggungjawab untuk terus mencipta bagi para peminatnya," kata Cik Lee dalam satu kenyataan kepada agensi berita Reuters. "Beliau amat menyayangi kehidupannya dan kerjayanya. Keluarganya dan para peminatnya juga amat menyayanginya. Beliau tiada pengganti."

Cik Lee bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian ayahnya. Namun menurut laman berita selebriti TMZ, sebuah ambulans dikerahkan ke kediaman Lee di Hollywood Hills pada awal Isnin (12 Nov).

Lee, yang dilahirkan sebagai Stanley Martin Lieber, di New York pada 28 Disember 1922 meninggal dunia di Pusat Perubatan Cedars-Sinai.

(Gambar fail: Mario Anzuoni/Reuters)

Tahap kesihatan Lee dipercayai semakin merosot sejak setahun lalu akibat beberapa penyakit yang dialaminya, termasuk pneumonia dan masalah penglihatan.

Lee memulakan dunia adiwira Marvel bersama Jack Kirby pada tahun 1961 dengan The Fantastic Four. Beliau kemudian mencipta watak-watak seperti Spider-Man, The Incredible Hulk, X-Men, Iron Man, Black Panther dan The Avengers.

Lee juga banyak kali mencuri perhatian para penonton dengan membuat penampilan kameo dalam kesemua filem Marvel tersebut.

Gambar Stan Lee dalam filem Doctor Strange.

Pada tahun 2008, Lee dianugerahi Pingat Seni Kebangsaan iaitu anugerah tertinggi pemerintah bagi para seniman kreatif.

Para peminat komik, khususnya peminat dunia adiwira turut melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan berita mengenai pemergiannya.

Antara kata-kata Lee yang paling diingati oleh peminatnya, seperti yang dipetik Astro Awani, adalah: “Saya pernah berasa rendah diri kerana ketika rakan-rakan yang lain membina bangunan, saya hanya membuat komik.

“Namun, saya akhirnya sedar bahawa hiburan adalah salah satu elemen penting dalam kehidupan. Apabila saya dapat menghiburkan orang, saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang betul.” 

Sumber : Reuters/Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan