Lat - Kartun wadah untuk memberi ilmu, namun dalam bentuk jenaka
Ramai yang mungkin tidak tahu, sebelum dirinya terkenal sebagai ikon kartunis tersohor, beliau bermula bertugas sebagai wartawan jenayah di meja New Straits Times (NST) pada awal tahun 1970-an.

Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih popular dengan nama ‘Lat’ adalah pencipta kartun legenda seperti ‘The Kampung Boy’, ‘Mat Som’ dan ‘Keluarga Si Mamat’. (Gambar: BERITAMediacorp)
BERITAMediacorp: Ramai yang mungkin tidak tahu, sebelum dirinya terkenal sebagai ikon kartunis tersohor, beliau bermula bertugas sebagai wartawan jenayah di meja New Straits Times (NST) pada awal tahun 1970-an.
Datuk Mohammad Nor Khalid, 65 tahun, atau lebih popular dengan nama ‘Lat’ adalah pencipta kartun legenda seperti ‘The Kampung Boy’, ‘Mat Som’ dan ‘Keluarga Si Mamat’.

Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih popular dengan nama ‘Lat’. (Gambar: BERITAMediacorp)
Kartun ‘The Kampung Boy’ diterbitkan pada tahun 1979, namun kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para peminatnya, naskah ini sudah diterbitkan melebihi 16 cetakan.
Cetakan pertama berjumlah 60,000 hingga 70,000 naskhah – habis dijual bak pisang goreng panas dalam masa 4 bulan sejak dilancarkan pada tahun 1979 dan kartun ini menjadikan Lat sebagai Kartunis paling masyhur di Malaysia!

(Gambar dari buku : My Life and Cartoons (2016))
Bukan itu sahaja, buku komik ini juga dijual di pasaran antarabangsa dan sudah alih-bahasa ke lebih 10 bahasa termasuk Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Sepanyol, dan Arab.
Kartunis ternama ini baru-baru ini (Dis 2016) melancarkan buku autobiografinya – ‘My Life and Cartoons’.
AUTOBIOGRAFI – DARI KAMPUNG KE DUNIA
Buku autobiografi setebal 232 halaman itu ditulis Lat bersama Syed Nadzri Syed Harun, Mantan Editor Kumpulan dari NST. Lat menjelaskan buku ini mencoretkan kisah-kisah penting beliau – ketika membesar dan perjalanan kehidupannya – sejak beberapa dekad yang lalu.
“Buku autobiografi pertama saya ini mengisahkan tentang kehidupan peribadi saya – sejak membesar di kampung, perjalanan kehidupan serta pengalaman dan pandangan saya sendiri.
“Di dalam naskhah ini pembaca dapat mengetahui cerita - kerjaya profesional – bagaimana saya bermula hingga kini. Foto-foto peribadi dari personal album saya sendiri juga akan dimuatkan di dalamnya,” kongsi anak kelahiran Gopeng, Perak ini kepada BERITAMediacorp. Lat meminati kartun lukisan Raja Hamzah dan Rejabhad.

(Gambar: BERITAMediacorp)
Buku dalam Bahasa Inggeris ini juga menceritakan bagaimana Lat mengembara ke seluruh dunia, termasuk kisah cinta hatinya - bertemu dan berkahwin hingga kini kepada isterinya, Faezah Ahmad Zanzali (Datin) bekas penuntut jurusan perakaunan di ITM di Shah Alam pada tahun 1976 dahulu.
Mereka mendirikan rumahtangga pada tahun berikutnya. Mereka dikurniakan empat orang anak.
ASAL USUL NAMA ‘LAT’ (BULAT)
Lat menjelaskan bagaimana panggilan ‘Lat’ kekal melekat hingga kini - nama membawa tuah kepada dirinya.
“Sebenarnya gelaran ‘Bulat’ adalah panggilan manja dari keluarga kerana fizikal badan saya yang bulat. Namun kemudian gelaran itu dipendekkan oleh rakan-rakan saya di kampung dulu. Mereka memanggil saya ‘Lat’, dan nama itu juga yang melekat hingga kini, dan saya menggunakannya sebagai nama pena saya,” jelas penerima dan pemenang ‘Hadiah Budaya Asia Fukuoka’ pada tahun 2002 itu lagi.
Pembabitan Lat dalam bidang lukisan juga bermula sejak beliau kecil lagi. Ayahnya, Mohd Khalid Mohd Noh, adalah di antara insan pertama yang mengesan bakat lukisan beliau dan banyak memberikan Lat motivasi untuk terus melukis di waktu lapang.

Lat pada zaman mudanya. (Gambar dari buku : My Life and Cartoons (2016))
Malah, kartun Lat yang pertama diterbitkan ketika beliau berusia 13 tahun, pada tahun 1964 oleh Sinaran Brothers. Komik sulung ini berjudul Tiga Sekawan: Menangkap Penchuri. Empat tahun kemudian, Lat mula menghasilkan karya ‘Keluarga Si Mamat’ (1968), komik bersiri untuk Berita Harian, yang bertahan selama 26 tahun!
KARTUN KOMEDI BERNAS, BUKAN LAWAK BODOH
Jika anda amati karya-karya Lat, anda mungkin akur bahawa Lat adalah seorang kartunis yang boleh dilabel sebagai pemikir yang menjangkaui masanya. Lat banyak menghasilkan lukisan kartun komedi tetapi sungguh bernas. Pokoknya, bukan lawak bodoh.
Selain menerapkan komik berunsur politik setempat dan international, Lat juga banyak menerapkan kehidupan bermasyarakat yang berbilang agama dan kaum. Mengapakah Lat memilih dua unsur ini?

Lat bersama keluarganya pada 1997. (Gambar dari buku : My Life and Cartoons (2016))
Ini jawapan Lat kepada BERITAMediacorp: “Kartun juga merupakan wadah untuk memberikan ilmu, namun dalam bentuk jenaka. Saya juga menerapkan ahli politik bukan juga untuk menghina mereka, tapi sekadar untuk berkongsi kisah – dalam konteks yang lucu. Saya pun tidak pernah disaman kerana lukisan saya. Kepelbagaian kaum, bahasa dan agama pula - adalah cerminan sebenar negara kita di sini."
PENGARUH LAT BINA GENERASI KARTUNIS SETERUSNYA
Yang pasti, penangan lucu Lat mempengaruhi generasi kartunis selepas beliau. Antara mereka termasuklah Encik Mohamad Herman Abu Bakar, seorang guru seni berusia 39 tahun.
Menurut Encik Mohamad Herman berkata, ibu-bapanya mendedahkan beliau kepada kartun-kartun Lat ketika usianya 4 tahun lagi, dan di atas pengaruh bacaan komik itu juga, beliau minat melukis sekaligus bercita-cita untuk menjadi seorang cikgu lukis secara profesional.

(Gambar: BERITAMediacorp)
“Sejak kecil lagi, seawal (usia) empat atau lima tahun, ibu-bapa saya telah membeli komik-komik Lat di rumah, dan saya akan terus menyelaknya. Lama-kelamaan minat melukis itu timbul dan hingga kini, saya meminati kartun-kartun lukisan Lat.
Bukan itu sahaja, keluarga saya juga masih menyimpan semua komik-komik Lat di rumah dengan baik. Itu ‘khazanah’ yang berharga bagi saya,” ujarnya lagi.
Hakikatnya, Encik Herman hanyalah satu daripada ribuan peminat setia, Lat seorang kartunis bertaraf antarabangsa dan dilabel sebagai Bapa Kartun Malaysia Kontemporari ini lagi.
PENGHORMATAN BAGI LAT
Kejayaan demi kejayaan Lat lalui. Dek kecemerlangannya dalam arena komik, sebuah muzikal bertemakan kisah Lat sendiri dipentaskan di Istana Budaya, Malaysia pada tahun 2011.
Muzikal berjudul ‘Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal’ mengisahkan kehidupan beliau di kampung hinggalah namanya dijulang sebagai kartunis hebat di dunia.
Antara pelakon yang menjayakan muzikal ini adalah Awie, Hans Isaac, Harith Iskandar dan ramai lagi. Awie memegang watak sebagai Lat manakala, watak isterinya, Faezah, dimainkan oleh penyanyi dan pelakon kecil molek, Atilia.

Lat ketika menjadi seorang wartawan jenayah pada 1973. (Gambar dari buku : My Life and Cartoons (2016))
Dalam persembahan ini, dua pelakon ini juga perlu berdialog dan menggunakan loghat Perak, demi merealisasikan dan mencerminkan kehidupan Lat yang sebenar.
Manakala filem ‘Mat Som’ pula telah diterbitkan pada tahun 1990 dan dilakonkan oleh Imuda dan Tiara Jacquelina.
Yang pasti, Lat masih belum berhenti berkarya. Masih banyak lagi cerita dari Lat, dan mengenai Lat si kartunis, pasti muncul pada tahun-tahun mendatang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.