Skip to main content

Hiburan

'Langkah Gergasi' raikan ulang tahun ke-30 Orkestra Melayu S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wisma Geylang Serai (WGS) mengadakan konsert 'Langkah Gergasi' sempena ulang tahun ke-30 Orkestra Melayu Singapura (OMS) di Panggung Victoria hari ini (15 Dis).

Konsert itu bertujuan mengiktiraf sumbangan sekian lama oleh Orkestra Melayu Singapura kepada arena Muzik Melayu di Singapura, menurut WGS dalam satu kenyataan media.

Antara matlamat utama konsert itu juga adalah untuk menampilkan ahli dan alumninya yang berjaya dan sudah menempa nama seperti penyanyi pop Aisyah Aziz, pemain genderang Riduan Zailani, penggesek biola Azura Goh serta penyanyi Sheera J.

Melalui konsert tersebut, OMS berharap dapat mendekati pemuzik muda serta beraspirasi untuk menjadi pelapis dan meneruskan legasinya.

Konsert itu menampilkan persembahan oleh barisan pemuzik bukan calang-calang seperti penyanyi rok tersohor Ramli Sarip, Pengarah Muzik RTM Malaysia Mokhzani Ismail, Rudy Djoharnaen, Elfee Ismail dan pemenang sulung SuaraWGS 2.0, Syah Riszuan.

(Gambar: WGS)

Tetamu-tetamu dihiburkan dengan muzik-muzik Melayu terbaik daripada komposer Melayu legenda seperti Allahyarham P. Ramlee, Kassim Masdor dan S. Effendi dengan susunan baru oleh Pengarah Muzik, Maestro Amri Amin.

Untuk mengekalkan keterangkuman yang diamalkan OMS sejak ditubuhkan oleh Persatuan Rakyat (PA) pada September 1991, konsert Langkah Gergasi turut akan menampilkan penyanyi Shabir, pemain Sitar, Nadarajan Kathirgamu, dan pemain Erhu, Ng Rui Jun.

(Gambar: WGS)

Presiden Halimah Yacob dan Encik Mohamed Abdullah Alhabshee menyerikan konsert itu sebagai tetamu terhormat.

Di samping itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkfili, Penasihat Utama Wisma Geylang Serai Profesor Madya Faishal Ibrahim dan Datuk Bandar Daerah Tenggara Fahmi Aliman turut sama menghadiri konsert tersebut.

Tiket-tiket bagi konsert itu sudahpun habis dijual.

Meskipun begitu, orang ramai masih berpeluang menyaksikan konsert itu melalui "Persembahan Perdana Online" secara ekslusif di saluran-saluran Facebook dan YouTube WGS pada 25 Disember pada pukul 8.00 malam.

Disebabkan oleh peraturan langkah pengurusan selamat (SMM) sedia ada, beberapa persembahan tidak akan diadakan secara langsung.

Sebaliknya, ia dirakam terlebih dahulu dan ditayangkan pada sebuah skrin layar semasa konsert itu.

Konsert 'Langkah Gergasi' disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dengan kerjasama Hear65.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita