Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Lagu 'Serumpun' cetus fenomena, sebar mesej perpaduan

Anggaran Waktu Membaca:
Lagu 'Serumpun' cetus fenomena, sebar mesej perpaduan

Sekumpulan wanita berbangsa India mengambil inisiatif menghasilkan semula klip video Serumpun dengan konsep menyerupai versi asal sebagai tanda sokongan terhadap lagu yang sarat dengan mesej perpaduan itu. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Lagu 'Serumpun', yang mengangkat tema perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri mencetuskan fenomena tersendiri di media sosial, khususnya menerusi cabaran #SerumpunChallenge di TikTok.

Lagu ciptaan dan nyanyian Shamimi Amalina Norhisham atau lebih dikenali sebagai Mimi Fly mendapat sambutan luar biasa apabila ribuan pengguna media sosial menghasilkan video kreatif, termasuk tarian berkumpulan bersama keluarga dan rakan.

Tidak ketinggalan, sekumpulan wanita berbangsa India mengambil inisiatif menghasilkan semula klip video Serumpun dengan konsep menyerupai versi asal sebagai tanda sokongan terhadap lagu yang sarat dengan mesej perpaduan itu.

Jurucakapnya, yang juga artis wanita Tamil tempatan, Pashini Sivakumar, berkata keputusan untuk menghasilkan semula video muzik itu dibuat kerana terinspirasi dengan lagu serta tarian yang menarik, selain menghargai keberanian Mimi Fly yang memadam dan merakam semula video asal selepas menerima maklum balas daripada netizen.

"Kami rasa keputusan yang dibuat Mimi Fly sangat berani kerana bukan semua artis sanggup menerima kritikan dan bertindak sedemikian. Jadi, kami rasa wajar untuk menyokong lagu ini dengan menghasilkan semula video terbabit.

"Lagipun, lagu ini memang hebat dan sangat catchy, liriknya juga mendalam, contohnya frasa 'serai serumpun' dan 'sirih tersusun' yang menjadi simbol penyatuan dan kebersamaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad (30 Mac).

Menampilkan gabungan elemen muzik tradisional dan moden, lagu Serumpun hadir dengan melodi yang rancak membawa mesej mendalam tentang perpaduan, kegembiraan dan kehangatan lebaran yang dirindui.

Cik Pashini berkata penggambaran dilakukan dalam masa sehari membabitkan 10 kru termasuk pengarah, juruvideo, penari serta pereka gaya, di Homestay Latar Salam Salaman, Telok Panglima Garang, Selangor.

Video muzik arahan Shan De Souza itu, katanya menelan kos sekitar RM2,000 merangkumi sewaan lokasi, peralatan serta makanan dan minuman untuk pasukan produksi.

"Antara cabaran utama ialah mencari kain yang sepadan dengan pakaian asal serta peralatan seperti dulang rotan. Memandangkan produksi perlu disiapkan segera, pakaian yang digunakan dalam video juga tidak dijahit, sebaliknya hanya dilipat dan dipinkan pada tempatnya.

"Selain itu, bukan mudah meniru pergerakan tangan dan gerak isyarat dalam video asal. Ia memerlukan latihan intensif bagi memastikan keseragaman, dan kami perlu berulang kali menonton video klip asal bagi mendapatkan persamaan yang tepat," katanya.

Sehingga hari ini, video muzik itu meraih lebih tiga juta tontonan dan menerima hampir 300,000 tanda suka selepas dimuat naik menerusi aplikasi TikTok @pashini_, sejak 28 Mac lepas, selain turut mendapat perhatian daripada Mimi Fly sendiri.

"Kami sangat teruja apabila Mimi Fly mengakui usaha kami dan memberikan respons yang baik. Itu satu penghormatan besar bagi kami.

"Kami tidak sangka sambutan yang diterima sangat luar biasa, dan setiap komen daripada pelbagai kaum menunjukkan bahawa kita sebenarnya bersatu padu. Itulah yang sepatutnya kita tonjolkan, bukannya perkara yang boleh memecahbelahkan," katanya yang akan tampil dalam telefilem Melayu, Kari Kumari.

Pada masa sama, Pashini yang juga jurulatih Yoga berharap agar lebih ramai pencipta kandungan dan artis menghasilkan karya yang menampilkan elemen pelbagai budaya untuk mencerminkan keharmonian rakyat Malaysia.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan