Skip to main content

Hiburan

Lagu Raya Ragam Bersulam buah tangan terbaharu Haziq Rosebi untuk peminat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penyanyi Haziq Rosebi yang namanya melonjak naik setelah lagu 'cover' Lemak Manis dendangan beliau menjadi viral, kini tampil dengan 'buah tangan' baharu untuk para peminat.

Haziq muncul dengan lagi berjudul Ragam Bersulam, ciptaan komposer muda Affan Mazlan dan Syafiq Al Gambus.

Tahukah anda, lagu itu sebenarnya pada mulanya diberi kepada Haziq sebagai 'single' biasa. Namun setelah diberikan demo, lirik lagu itu disesuaikan dan ia menjadi lagu Hari Raya.

Ini juga kali pertama dalam 15 tahun, Haziq kembali bernaung di bawah syarikat rakaman.

"Inilah kali pertama saya rakam lagu di bawah naungan syarikat sebab kali terakhir dulu 2009. Setelah 18 tahun barulah saya dapat tawaran dari Rusa Music," kata Haziq kepada BERITA Mediacorp.

Beliau menandatangi kontrak dua tahun bersama syarikat Rusa Music, Kuala Lumpur dua bulan lepas.

Lagu Raya Haziq ini semestinya masih mengekalkan unsur-unsur tradisional, dengan lenggok suara lemak manis yang sinonim dengan beliau.
 
LEMAK MANIS BAWA TUAH

Tidak dapat dinafikan, lagu 'cover' Lemak Manis yang dirakam semula oleh Haziq membawa tuah kepadanya selain memperkukuhkan lagi kehadiran pelantun yang berasal dari Kluang, Johor itu dalam industri hiburan.

Lemak Manis nyanyian asal penyanyi Roslan Madun yang dibawakan dengan gaya tersendiri Haziq amat disenangi oleh setiap lapisan masyarakat khususnya penggemar lagu-lagu tradisional.

Setakat ini, lagu Lemak Manis versi Haziq Rosebi yang dimuat naik di Youtube pada tahun lepas berjaya mendapat 13 juta tontonan.

Sebelum nama Haziq meletup dengan lagu 'cover' Lemak Manis yang dirakam pada awal tahun 2023, penyanyi berusia 36 tahun itu pernah menyertai pertandingan Akademi Fantasia anjuran televisyen Astro.
BERITA Mediacorp bertanya kepada Haziq tentang populariti dan penangan lagu nyanyiannya itu. Ini jawapan beliau sambil tertawa: “Ia memang satu kejutan budaya jugaklah."

"Sebab saya dah lama tak pilih undangan nyanyian 'back to back' sampai boleh dapat 27 sehingga 28 undangan nyanyian dalam sebulan. Tapi bukanlah setiap hari. Dalam satu hari, adalah dua atau tiga undangan. Itu yang macam kejutan budaya sikit. Balik rumah, basuh baju, rehat dua hari, keluar balik, pergi Kedah, Perak. Cuma bulan Ramadan kurang sedikitlah," cerita beliau.

Beliau menyifatkannya sebagai rezeki yang diberikan oleh Allah. Namun katanya untuk mengekalkannya bukan mudah.

“Kita dah naik dan untuk kekalkan populariti bukan benda yang senang. Itu yang saya bernaung di bawah Rusa Music sebab mereka tawarkan lagu kepada saya, jadi kita dah tak takut tentang promosi lagu, kita tak perlu keluar duit sendiri semua,” ujar beliau.

Selain daripada mendapat undangan nyanyian di seluruh Malaysia, Haziq juga sering ke Singapura untuk memenuhi undangan nyanyian sejak akhir-akhir ini.

Yang terkini, beliau dijangka menemui peminat dalam acara Untukmu Ibu anjuran stesen radio Warna942 pada 11 Mei 2024 nanti bertempat di Hotel Orchard. Selain Haziq, penyanyi Wann juga turut diundang oleh stesen tersebut.
 
HAZIQ PENYANYI ISTANA?

Meskipun penulis mengenali Haziq sebagai seseorang yang dikenali dengan sifat rendah diri dari dahulu lagi, beliau akhirnya sudi berbicara setelah dipujuk apabila ditanya tentang dirinya yang menjadi pilihan Istana Pahang dan Istana Trengganu untuk membuat persembahan.

Ketika ditanya adakah Haziq penyanyi kegemaran Istana, sambil tertawa ini jawapan ringkas beliau: “Tak adalah, kita biasa-biasa sahaja.”

Bagaimana pula jika ada yang sudah menggelarkannya sebagai penyanyi Istana memandangkan beliau kerap mendapat undangan nyanyian dari Istana?

“Ia berat jugaklah. Nanti tanggapan orang takut nak panggil Haziq konon harga Haziq mahal tapi tidaklah,saya OK saja. Cuma kita cari makan, mana ada rezeki kita teruskan," katanya kepada BERITA Mediacorp.

Beliau tidak menafikan memang sudah ada tanggapan kononnya untuk menjemput Haziq membuat persembahan kini mahal.

Tanggapan ini tidak betul sebenarnya, menurut Haziq.

“Saya tidak pandang benda itu sebagai terlampau nak 'high class' sangat. Kita nak cari makan jadi saya anggap ia sebagai penghormatan untuk bawa lagu-lagu macam itu. Saya tidak anggap konon artis Istana perlu memilih-milih persembahan. Saya tengok pada acara, untuk acara sekolah kita bagi harga sekolah, kita boleh bincang, tidak ada masalah.”

Pada 2 Mei nanti pula, Haziq sudah mendapat undangan nyanyian untuk Hari Keputeraan Sultan Terengganu.

Apa pula senarai lagu yang disenangi oleh Sultan Pahang ketika Haziq dijemput membuat persembahan di sana?

“Pelbagai lagu diminati oleh Sultan Pahang termasuk lagu-lagu Inggeris, lagu tradisional. Lagu kegemaran Tuanku ialah Gurindam Jiwa dan lagu-lagu keroncong. Sultanah Terengganu suka lagu Lemak Manis dan Ikan Dalam Kolam.”

SAMPAI BILA NAK JADI KLON AHMAD JAIS?

Sebelum beliau popular membawakan lagu 'cover' Lemak Manis, peminat seringkali dihiburkan dengan lagu-lagu Ahmad Jais yang dirakamkan semula oleh Haziq.

Bahkan ada juga yang pernah memberinya gelaran sebagai klon Allahyarham Ahmad Jais sebelum ini.

Adakah beliau akan terus merakamkan lagu-lagu cover nyanyian penyanyi veteran Ahmad Jais walaupun setelah menjadi artis rakaman di bawah naungan Rusa Music kini?

“Saya rasa dah agak banyak juga saya buat lagu-lagu 'cover' Dato Ahmad Jais di YouTube jadi saya campur-campurlah lagu A.Ramlie, Dato M.Daud Kilau, Tan Sri SM Salim atau lagu-lagu retro yang lain yang saya rasa sesuai untuk peminat.


"Tapi bila saya dah mula 'cover' lagu A.Ramlie mereka kata lagu A.Ramlie versi Ahmad Jais pulak (ketawa). Seronok tengok macam-macam komen. Saya pun nak larilah sikit daripada gelaran klon Ahmad Jais mungkin saya boleh kongsi sesuatu yang orang lain tidak tahu.”

Haziq pernah juga merakamkan lagu cover nyanyian asal A.Ramlie dan Maria Bachok berjudul Cahaya Bulan Di Air Tenang bersama penyanyi Asmidar Ahmad dari Malaysia beberapa bulan lepas.

Untuk pembaca portal ini, Haziq turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin untuk kesemua umat Islam.

Katanya ringkas sebelum mengakhiri temubual ini:
“Semoga Syawal kali ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya.”
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita