Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Lagu "Gara-Gara Raya" dan "Hari Raya Raya Raya" meriahkan suasana Lebaran dengan gabungan tradisional dan moden

Lagu-lagu Raya bukan sahaja membangkitkan nostalgia, tetapi turut menyemarakkan persiapan dan sambutan Aidilfitri.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lagu-lagu Raya bukan sahaja membangkitkan nostalgia, tetapi turut menyemarakkan persiapan dan sambutan Aidilfitri.

Tahun ini, fenomena lagu Raya baharu tidak hanya melanda seberang tambak, malah tanah air sendiri turut meriah dengan irama segar.

Wartawan Roslinda Rahmat meninjau dua lagu baharu tempatan yang mendapat tempat di hati pendengar dan membangkitkan semangat untuk beraya.

LAGU RAYA BAHARU SEMARAKKAN SUASANA LEBARAN

Tahun ini, dua lagu baharu - "Hari Raya Raya Raya" oleh Iman Fandi dan "Gara-Gara Raya" oleh Hyrul Anuar - sama rancak dan menggoda pendengar untuk menyanyi bersama.

Kedua-dua lagu itu turut menonjolkan elemen tradisional, warisan budaya serta nostalgia.

Menurut Encik Kazhendra Kas Kazan, penerbit lagu "Gara-Gara Raya", "Tiap-tiap tahun saya ada buat lagu Raya. Tetapi tahun ini paling banyak lagu Raya. Sampai tiga lagu Raya yang saya sudah terbitkan untuk tahun ini. Semuanya oleh artis-artis Singapura."

Bagi Iman Fandi, lagu "Hari Raya Raya Raya" merupakan lagu Melayu sulungnya.

"Saya sudah lama nak keluarkan lagu Melayu dan kami fikir yang Hari Raya adalah masa yang paling tepat. Juga, pertama kali mendengar 'Hari Raya Raya Raya' yang berciri moden, menarik untuk pendengar ikut nyanyi sama dan memiliki elemen-elemen tradisional, adalah sesuatu yang amat saya inginkan dalam lagu saya. Dan, mendapatkan keluarga saya menyanyi sama dalam lagu itu amat menyeronokkan," kata Iman kepada wartawan Roslinda Rahmat

Penyertaan keluarga Iman dalam lagu tersebut bukan sahaja memberi makna baharu, tetapi turut menambah cabaran.

"Kerana keluarga saya ada dalam lagu saya. Kedengaran suara mereka di sini-sana pada penghujung lagu, dan adik lelaki saya Iryan serta ibu saya menyanyi bersama saya sewaktu rakaman di studio, untuk bahagian korusnya. Bapa saya paling ghairah apabila mendapat tahu yang saya hendak buat lagu Melayu, terutama untuk Hari Raya! Yang paling susah adalah untuk dapatkan semua anggota keluarga saya bersama-sama pada satu masa. Kerana semua mereka di luar negara dan seperti itu. Jadi kami perlu mencari pelbagai cara untuk dapatkan semua suara mereka atau untuk menghantar rakaman atau nota suara masing-masing," kata Iman lagi.
Penyanyi lagu "Gara-Gara Raya", Hyrul Anuar. (Gambar: BERITA Mediacorp)
GABUNGAN ELEMEN TRADISIONAL DAN MODEN

Walaupun sibuk menulis skrip untuk rancangan hiburan di TV Suria, Hyrul akhirnya menghasilkan lagu Raya.

Menggabungkan elemen tradisional dan moden, lagu Raya baharu "Gara-Gara Raya" memikat pendengar dengan rentak rancak dan unsur tradisional yang mudah diingati.

Lagu itu tidak hanya mengajak pendengar untuk menyanyi bersama, tetapi juga mengekalkan elemen budaya Melayu dalam irama yang segar.

"Kalau nak buat sebuah lagu Raya itu, bukankah apabila Raya ini perasaannya sangat nostalgik, sentimental bukan? Walaupun sebanyak kita nak jadikan sebuah lagu itu 'catchy' dan menepati citarasa generasi sekarang ini, tetapi mesti ada elemen-elemen tradisional. Ada elemen-elemen yang boleh menjadikan lagu ini malar segar. Kena ada keseimbangan di antara bunyi yang boleh mudah diingati dan juga elemen-elemen yang mengingatkan kita tentang budaya Melayu. Jadi bila dengar lagu ini, kita masih boleh menari bersama, kita masih boleh menyanyi bersama dan kanak kanak pun boleh senang mengikuti lirik yang ada di dalam lagu ini," jelas Hyrul.

Lagu "Gara-Gara Raya" adalah hasil impian Hyrul untuk menghasilkan lagu Raya solo.

Sebelum ini, beliau bersama kumpulannya AltoAura menghasilkan "Dian Lebaran" dan turut bergabung dengan Akmal untuk menulis lagu "Mengenang Pemergianmu".
Kazhenda Kas Kazan (kiri) dan Hyrul Anuar. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Menurut Hyrul, lagu itu sangat sesuai dengan aliran muzik masa kini, dengan irama yang rancak dan mudah mengajak pendengar menyanyi bersama, namun tetap mengekalkan elemen kemelayuan.

Sebagai pendidik, Hyrul tidak pernah lepas dari memberi nasihat, terutama dalam pengajaran bahasa dan lagu rakyat untuk melestarikan warisan budaya.

"Lagu 'Gara-Gara Raya' itu masih lagi menerapkan mesej Hari Raya sebenarnya. Dan saya memang ada mesej peribadi lah iaitu kepada anak-anak buah saya - ada nasihat yang saya terapkan. Dengan menerapkan elemen lagu rakyat, Pok Amai-Amai. Juga ada perkataan-perkataan Melayu seperti Cekak Musang, Teluk Belanga lah. Banyak lagi lah perkataan yang di dalam itu untuk luaskan kosa kata mereka.

"Dan saya gembira juga kerana ia menarik perhatian bukan sahaja daripada golongan muda tetapi yang sudah berusia juga, sebab elemen muzik yang saya gunakan di dalam lagu itu menggabungkan bunyi seruling, ada rentak inang sebenarnya yang mana boleh menari, lah," jelas Hyrul.

Penerbit lagu, Kazhendra Kas Kazan, turut berkongsi pandangan tentang elemen-elemen tradisional yang digabungkan dalam lagu tersebut.

"Lagu rakyat 'Tepuk Amai-Amai' itu biasa bagi zaman-zaman saya atau zaman sebelum saya. Tetapi ia tidak biasa kepada generasi baharu Gen-Z dan Gen Alpha. Jadi, kalau kita terapkan elemen seperti itu, mungkin golongan muda itu akan lebih kenal akan elemen-elemen Melayu dan kita dapat simpan tradisi kemelayuan kita. 'Gara-Gara Raya' adalah antara lagu yang paling menarik untuk kita ikut nyanyi sama. Bahagian korusnya memang amat 'catchy' atau kita panggil 'hook' lah dalam istilah muzik modern. Ia amat senang untuk dihafal, senikatanya berulang-ulang, senang untuk orang ikut sama-sama menyanyikannya," ujar penerbit, Kazhendra Kas Kazan.

KELUARGA DAN RAKAN GOTONG-ROYONG SUMBANG SUARA SERTA PENAMPILAN DALAM VIDEO MUZIK

Dalam usaha mewujudkan suasana meriah sambutan Hari Raya, lagu "Gara-Gara Raya" menonjolkan semangat gotong-royong dengan penglibatan keluarga dan rakan-rakan.

Video muzik lagu itu bukan sahaja memaparkan elemen tradisional Raya, tetapi turut menggabungkan tenaga kreatif adik-beradik, sepupu, 10 anak buah, serta anak kawan-kawan dan rakan-taulan untuk menyanyi bersama.

"Hari Raya kena meriah, bukan? Jadi saya perlukan sumbangan ataupun pertolongan daripada ahli keluarga dan teman-teman dalam industri sendiri. Juga ada bisnes-bisnes yang beroperasi dari rumah (HBB) yang turut menyumbang dalam pembikinan video muzik ini. Jadi, saya sangat gembira lah dan saya tidak sangka sebenarnya dengan bantuan mereka, saya dapat hasilkan video muzik ini dengan sebaik mungkin," ujar Hyrul mengenai usaha kolektif dalam pembikinan video muzik tersebut.

Berkat promosi di media sosial, lagu "Gara-Gara Raya" turut mendapat perhatian ramai, dengan sekitar 4,000 penstriman di Spotify dan 24,000 tontonan di YouTube.

Sementara itu, Iman Fandi juga turut mendekati peminat dengan cabaran menggerakkan badan mengikut koreografi lagu "Hari Raya Raya Raya", memberi peluang kepada golongan muda untuk turut merasai kemeriahan lagu Raya dengan cara yang interaktif.

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan