Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Lagenda muzik Elton John dedah hilang daya penglihatan

Anggaran Waktu Membaca:
Lagenda muzik Elton John dedah hilang daya penglihatan

(Gambar fail: Jamie McCarthy / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

LONDON: Legenda muzik Elton John memberitahu penonton teater di London pada Ahad (1 Dis) beliau kehilangan penglihatannya selepas bergelut untuk pulih daripada jangkitan mata pada awal tahun ini.

Penyanyi berusia 77 tahun itu – terkenal dengan lagu-lagu termasuk Tiny Dancer, Your Song dan rentetan lagu hits lain – berada di West End London bagi pembukaan muzikal The Devil Wears Prada, yang mana dia menulis skornya.

Dalam ucapan penuh emosi dari pentas Teater Dominion di penghujung persembahan, dia berkata persembahan itu kedengaran bagus, tetapi dia tidak dapat menontonnya.

"Sebahagian daripada anda mungkin tahu saya mempunyai masalah sebelum ini dan kini saya hilang penglihatan. Saya tidak dapat melihat persembahan tetapi saya masih menikmatinya," kata John. "Saya suka mendengarnya," tambahnya sambil mendapat tepukan gemuruh.

Beliau berterima kasih kepada suaminya David Furnish kerana menjadi "penyokongnya".

John, yang telah menjual lebih daripada 300 juta rekod sepanjang kerjaya selama enam dekad, berkata dalam dokumentari yang ditayangkan pada September bahawa kesihatannya membuatkan beliau bimbang tentang masa hadapan.

"Ini adalah masa lewat dalam hidup saya. Saya tidak tahu berapa banyak masa yang saya masih ada," katanya dalam dokumentari Elton John: Never Too Late.

Beliau berkata pada bulan itu menerusi catatan di Instagram bahawa beliau berasa positif tentang bagaimana matanya pulih selepas jangkitan pada Julai.

Dua bulan kemudian, beliau memberitahu ABC News bahawa beliau tidak dapat melihat melalui mata kanannya sementara mata kirinya juga "tidak terlalu jelas", yang bermakna beliau tidak lagi boleh membaca atau menonton apa-apa.

Beliau berkata keadaannya menghalangnya daripada memasuki studio di mana beliau bekerja pada album baharu.

"Sudah agak lama saya tidak melakukan apa-apa," katanya. "Ada harapan dan dorongan bahawa ia akan baik-baik saja, tetapi ia, saya agak buntu pada masa ini."

John, yang menjadi terkenal pada awal 1970-an, mengadakan jelajah pengakhir dari 2018 hingga 2023.

Beliau dan Furnish mempunyai dua anak lelaki, Zachary, 13 tahun, dan Elia, 11 tahun.

"Saya sangat bertuah. Saya lelaki paling bertuah di dunia," kata John kepada ABC News bulan lalu.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan