Skip to main content

Hiburan

Kunjungan Billie Ellish ke Sungei Wang Plaza KL curi tumpuan ramai

Anggaran Waktu Membaca:
Kunjungan Billie Ellish ke Sungei Wang Plaza KL curi tumpuan ramai

(Gambar: Billie Ellish/Instagram)

KUALA LUMPUR: Kelibat penyanyi terkenal Amerika Syarikat (AS), Billie Eilish, yang berkunjung ke pusat beli-belah Sungei Wang Plaza di Bukit Bintang Kuala Lumpur mencuri perhatian peminat.

Ramai kagum dengan sikap rendah diri penyanyi itu memandangkan artis antarabangsa lain yang datang ke negara ini biasanya akan singgah ke pusat beli-belah lebih terkenal lagi mewah seperti Suria KLCC, Pavilion ataupun Star Hill Gallery, menurut laporan mStar.

Di ruangan komen, ramai meninggalkan komen lucu tentang kunjungan Billie ke Sungei Wang Plaza. Ada secara berjenaka menyangka penyanyi itu ke pusat beli-belah itu bagi menempah cermin mata baru atau mendandan rambut.

Ini kerana Sungei Wang Plaza cukup popular dengan pelbagai kedai perkhidmatan membuat cermin mata yang murah selain salon dan spa.

Video menunjukkan Billie berada di Sungei Wang Plaza dirakamkan orang ramai yang terserempak dengannya ketika beliau sedang berjalan keluar untuk memasuki kenderaan yang menunggu di luar pusat beli-belah itu, lapor agensi berita mStar.

Andaian warganet terjawab akhirnya apabila pihak Sungei Wang Plaza, menerusi akaun TikToknya, memuat naik video untuk menunjukkan bahawa Billie sebenarnya datang ke pusat beli-belah itu unuk bermain go-kart di Blastacars Malaysia.

Turut kelihatan bersamanya adalah abang Billie iaitu Finneas, yang juga seorang penyanyi, selain rakan-rakan dan pemuzik penyanyi itu.

Para peminat turut memuji Billie yang dilihat mematuhi prosedur operasi piawai (SOP) ditetapkan dengan memakai pelitup muka apabila berada di dalam kawasan pusat beli-belah berkenaan.

Penyanyi itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Selasa (17 Ogos) dan disambut oleh ramai peminatnya, lapor mStar.

Billie berada di Malaysia bagi menjayakan konsert 'Billie Eilish Happier Than Ever World Tour 2022' yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Khamis (18 Ogos).

Billie kemudian akan berangkat ke Singapura untuk mengadakan konsertnya pada Ahad (21 Ogos) di Stadium Negara, antara lokasi terbesar di negara ini bagi penganjuran sebuah konsert.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita