Skip to main content

Hiburan

Kumpulan ‘Tipah Tertipu’ Ruffedge mahu bertukar ‘kasih-sayang’ semasa konsert di S’pura

 ‘Tipah Tertipu’ akan muncul menemui anda di Singapura sekitar sebulan sahaja dari sekarang. Siapa lagi kalau bukan kumpulan Ruffedge, yang akan mengadakan konsert di Kota Singa ini pada 6 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan ‘Tipah Tertipu’ Ruffedge mahu bertukar ‘kasih-sayang’ semasa konsert di S’pura

Kumpulan Ruffedge bakal mengadakan konsert di Singapura pada 6 Oktober. (Gambar: Ruffedge)

Diterbitkan : 06 Sep 2018 07:44PM Dikemas Kini : 06 Sep 2018 08:16PM

BERITAmediacorp: ‘Tipah Tertipu’ akan muncul menemui anda di Singapura sekitar sebulan sahaja dari sekarang. Siapa lagi kalau bukan kumpulan Ruffedge, yang akan mengadakan konsert di Kota Singa ini pada 6 Oktober.

‘Tipah Tertipu’ adalah antara lagu popular kumpulan dari Malaysia itu, yang para anggotanya kini bersatu kembali membuat persembahan selepas 11 tahun menghilang dari pentas. Ada kemungkinan, lagu itu yang pernah menjadi kegilaan pendengar, akan membuat kemunculan demi melangsaikan rindu para peminat Singapura.

Konsert Ruffedge itu yang akan menampilkan Cat Farish, Zain Hamid, Azan Addin, Amir Munawer, Sein dan Mode, diadakan di Zepp@Bigbox dan dianjurkan sempena ulang tahun kumpulan itu yang ke-20.

APA CERITA RUFFEDGE SEBENARNYA SEMASA MENGHILANG?

Kumpulan Ruffedge yang turut dikenang dengan lagu Bila Rindu dan Khayalan, baru-baru ini boleh dikatakan sebagai kembali mengganas setelah berehat lebih sedekad.

Ini terbukti apabila konsert mereka di Life Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini mendapat sambutan hangat oleh para peminat tegar mereka yang tidak melepaskan peluang membeli tiket konsert tersebut. Hanya dalam masa tempoh dua jam sahaja, kesemua tiket konsert Ruffedge habis dijual. Hebat!

Sebenarnya, semasa ‘berehat’, kesemua anggota Ruffedge melakukan kerja-kerja lain. Ada yang berlakon dan mengarah filem. Azan dan Amir contohnya memberi tumpuan kepada hal-hal keagamaan pula.

Mereka kembali pada tahun ini dengan strategi yang berbeza untuk turut memeriahkan lagi industri hiburan tempatan. Setelah penyanyi-penyanyi seperti Misha Omar, Siti Sarah, Liza Hanim, Siti Nordiana yang kembali merakamkan lagu single mereka, Ruffedge juga nampaknya tidak mahu ketinggalan apabila mereka baru-baru ini muncul dengan single terbaru berjudul Seperti Mereka.

Kumpulan Ruffedge yang ditemui BERITAmediacorp di Kuala Lumpur baru-baru ini menerangkan tentang ‘kehilangan’ mereka selama 11 tahun.

“Sebenarnya kita tak ke mana-mana pun atau berubah pun. Cuma sebelum ini kita adalah remaja-remaja yang sedang mendewasakan diri. Kita berkeluarga. Kita ada banyak pendapat dalam hidup kita yang kita perlu terokai benda-benda baru,” jelas Azan.

KETIKA ITU PERUBAHAN MELANDA INDUSTRI R&B

Beliau menambah, ketika itu juga, industri hiburan di Malaysia berubah sehingga ada syarikat rakaman terpaksa ditutup termasuk label EMI yang mereka bernaung.

Penjualan cakera padat tidak lagi berkesan dek kemunculan media baru sehingga membuat segelintir artis mengundurkan diri. Akuinya kepada BERITAmediacorp sambil diperhatikan oleh lima anggota lain Ruffedge dalam pertemuan tersebut: 

“Masa tu kita tak faham apa yang berlaku pada dunia muzik. Tambahnya dengan adanya genre muzik yang lain, ini menyebabkan sesetengah muzik dianaktirikan, ada yang tak boleh dipasangkan di radio, tiba-tiba muzik R&B dah tak popularlah. Macam-macam pendapat waktu itu yang buat kami tak berapa faham jadi kami tengok dari luar.”

Meskipun sibuk membawa haluan masing-masing untuk beberapa tahun, silaturrahmi sesama mereka tidak pernah terputus kerana mereka masih lagi berhubung dan berjumpa sehinggalah tercetus idea untuk membuat comeback dengan penerbitan single mereka berjudul Seperti Mereka edaran Warner Music Malaysia. Ekoran itu juga, Ruffedge turut memikirkan mengadakan konsert di Singapura juga.

“Kami semua buat solat istikharah dan pasang niat, kalau ini tak baik untuk kami Ya Allah, jauhkan tapi kalau ini baik untuk kami dan umat, permudahkan. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Laju macam roket. Kita anggap sebagai dorongan dari Tuhan, petanda yang baik untuk kami Insya Allah,” tambah Azan.

KUATKAN KEMBALI VOKAL, HARMONI SECARA BERKUMPULAN

Apa pula cerita single terbaru mereka Seperti Mereka, tanya kami kepada Azan?

Menurutnya, lagu terbaru Ruffedge cuba memupuk nilai agar individu ingin berkeluarga apabila sudah menjalin hubungan. Mereka prihatin kerana ada yang hanya menjalinkan hubungan kosong dan tiada keinginan untuk membawa hubungan tersebut ke tahap seterusnya iaitu perkahwinan. 

(Gambar Azan Addin. Gambar: @ruffedge/Instagram)

“Kita sembang dengan guru-guru agama pun cakap kalau kamu cerita pasal ketuhanan dah biasa kumpulan nasyid buat, cuba pupuk kekeluargaan sebab sekarang orang takut nak kahwin disebabkan cerai-berai dan mempunyai pemikiran negatif pada kekeluargaan. Jadi mereka kata apa kata dipupuk balik perasaan orang dulu-dulu yang percaya pada sistem kekeluargaan itu,” kata Azan.

Sementara itu, seorang lagi anggota kumpulan Ruffedge iaitu Sein mengatakan bahawa sebagai persiapan untuk membuat kemunculan semula, mereka harus serasikan balik suara mereka.

Menurut Sein, antara yang perlu mereka lakukan adalah menguatkan lagi vokal secara berkumpulan, harmoni, susunan lagu, serta persiapan lain dari segi nyanyian.

“Fizikal mungkin meningkatkan daya ketahanan kita. Berlatih ke gim, banyak senaman, jaga pemakanan. Saya sebelum ini banyak buat senaman. Dari senaman fizikal, saya tak terkejutlah. Saya dah 10 tahun pergi gim, dah mula naik basikal. Dari segi spiritual pun sama, kita kuatkan lagi,” cerita Sein kepada kami.

Untungnya, rancangan mereka untuk membuat kemunculan semula pada tahun ini menguatkan lagi kesedaran mereka tentang perlunya menjaga kesihatan dan pemakanan memandangkan usia mereka kini melebihi 40-an tahun. Ini kata Sein tegas:

“Sekarang ni kita sedar tentang faktor umurlah, memang tak boleh tolak jadi semua orang kena ada disiplin. Konsert ini banyak pelajaran untuk saya dan yang lain. Sebenarnya bukan tunggu konsert baru kita sedar nak jaga kesihatan. Sebab kita ada tanggungjawab. Dulu kita tak fikir tentang hal ini.”

Yang pasti, mereka sudahpun matang berbekalkan 20 tahun pengalaman sebagai artis berkumpulan.

MAHU RASA PERTUKARAN KASIH SAYANG DI S’PURA

Sein turut ditanya mengenai persaingan dengan artis-artis muda masa kini yang mampu beroleh sehingga dua atau tiga juta tontonan di YouTube untuk klip video lagu-lagu baru mereka. Secara tidak langsung tontonan di YouTube itu seakan menjadi kayu pengukur untuk menilai populariti lagu artis berkenaan. 

(Gambar Sein. Gambar: @ruffedge/Instagram)

Jelas Sein, mereka mengambil masa 20 tahun untuk berdiri di landasan mereka sekarang ini dengan bermacam-macam jenis perisian, album serta persembahan.

“Jadi kami tidak ada di sini untuk bersaing atau kata ‘Oh dia dapat tiga juta tontonan (YouTube), kita nak dapat satu juta’. Kalau benda tu jadi sejuta atau dua juta Alhamdulilah. Benda tu jadi 10,000, 20,000, 30,000, alhamdulilah sebab itu bukan sasaran kita sekarang.

“Kita bukan artis atau satu kumpulan yang baru keluar dan kita inginkan itu ini. Kita dah lalui semua tu. Kita dah dapat dah, dah popular ‘been there, done that’. Sasaran kita untuk terus menerus menghasilkan lagi muzik dan memberikan pada penyokong,” ujar Sein kepada kami.

(Gambar kumpulan Ruffedge. Gambar: Ruffedge)

Untuk konsert ulang tahun Ruffedge di sini nanti, mereka ingin juga merasakan “pertukaran kasih-sayang yang sama di Singapura” dengan peminat sepertimana dirasakan sewaktu berkonsert di Kuala Lumpur. 

Kata Sein lagi: “Macam mana kita naik atas pentas tu orang memberikan senyuman, kita naik saja mereka di bawah tu bagi semua dekat kita jadi kita di atas pun bagi semua pada di bawah tu. Kami nakkan pengalaman ini berlangsung juga di konsert Singapura supaya kami dapat kongsi perasaan yang sama di Malaysia.”  

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita