Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kumpulan penganut Sikh M'sia kecewa paparan buruk dalam filem Mat Kilau

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan penganut Sikh M'sia kecewa paparan buruk dalam filem Mat Kilau

Poster filem Mat Kilau. (Gambar: Syamsul Yusof/Instagram)

KUALA LUMPUR: Kumpulan penganut Sikh meluahkan keprihatinan terhadap beberapa babak dalam filem agung tempatan Mat Kilau yang didakwa memaparkan adegan-adegan menimbulkan "kontroversi" dan "buruk" mengenai masyarakat Sikh, lapor New Straits Times Malaysia. 

Filem arahan Syamsul Yusof itu diilhamkan tokoh sejarah Mat Kilau yang menentang penjajahan Britain di Pahang pada tahun 1880-an. 

Namun, United Sikhs Malaysia menyatakan beberapa babak dalam filem itu yang melibatkan kaum Sikh yang berkhidmat dalam tentera Britain, boleh menyebabkan salah faham agama dan perkauman dalam negara tersebut. 

"Filem itu menggambarkan semangat perjuangan Melayu untuk mempertahankan Tanah Melayu. Namun, amat dikesali, ia memaparkan anggota kaum dan agama lain sebagai watak jahat. 

"Kami percaya ini boleh menjejas keharmonian kaum. Secara khusus, kami menarik perhatian bahawa penganut Sikh memakai turban yang memainkan watak askar British dalam filem itu digambarkan telah bertindak kasar terhadap warga emas, kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah. 

"Babak sebegitu ditambah oleh pihak penerbit agar jalan ceritanya memukau perhatian penonton. 

"Namun, kod amalan Sikh melarang perbuatan berkasar terhadap warga emas, kanak-kanak, wanita dan orang awam, meskipun dalam masa peperangan," menurut kumpulan tersebut dalam satu kenyataan pada Jumaat (8 Jul).

Walaupun babak yang menimbulkan kontroversi itu adalah rekaan semata-mata, kumpulan tersebut berkata paparan itu menyinggung perasaan masyarakat Sikh. 

Lantaran itu, mereka menggesa industri filem Malaysia untuk tidak menerbitkan sebarang filem yang berpotensi menyinggung sentimen kaum dan agama dan menyebabkan salah faham. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan